FOTO ihsan SPRM
FOTO ihsan SPRM
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan di Sepang dan Melaka pada hari ini dan semalam kerana dipercayai menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber SPRM berkata, ketiga-tiga suspek itu ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan menyamar sebagai pegawai agensi itu yang kononnya boleh menutup kes berkaitan rasuah dan penggubahan wang haram.

Menurutnya, dalam tangkapan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang kira-kira pukul 3 petang semalam, dua lelaki masing-masing berusia 49 dan 61 tahun berjaya diberkas.

"Suspek dipercayai cuba memperdaya seorang lelaki menerusi panggilan telefon yang kononnya mangsa disiasat SPRM kerana dipercayai terbabit dalam kesalahanan di bawah Seksyen AMLA dan meminta bayaran sebanyak RM20,000 bagi menutup kes itu.

"SPRM berjaya merampas wang tunai berjumlah RM10,000 dan tiga telefon bimbit yang ditemui bersama-sama suspek," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, dalam tangkapan kedua di Alor Gajah, Melaka kira-kira pukul 1.30 pagi hari ini, SPRM menahan seorang wanita berusia 36 tahun yang menyamar sebagai pegawai SPRM bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan cuba memperdaya beberapa individu bagi tujuan meminta wang sogokan.

Kesemua suspek di bawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman dan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan kedua-dua suspek lelaki direman selama lima hari manakala suspek wanita pula direman enam hari bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 6:32 PM