Mohd Nasif Badruddin


Menggabungkan kehebatan aliran pendidikan dari Timur (Universiti al-Azhar) dan Barat (Universiti Oxford) dengan singkatan Azharvard, Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Besut disifatkan antara sekolah terbaik negara yang melahirkan profesional huffaz.

Sistem pendidikan di sekolah yang dikenali sebagai Imtiaz Besut itu menawarkan tiga disiplin ilmu secara bersepadu iaitu pengajian akademik dalam bidang sains tulen, penghayatan dan hafazan al-Quran 30 juzuk serta pengajian agama menerusi kitab turath.

Pengetua Cemerlang Imtiaz Besut Ustaz Abdul Wahab Mohd Arshad, 50, berkata, melalui gabungan itu terbentuknya inti pati Ulul Albab yang dikenali sebagai Quranik (hafazan al-Quran 30 juzuk), Ensiklopedik (menguasai pelbagai cabang ilmu) dan Ijtihadik (berkeupayaan memberi pandangan dalam menyelesaikan masalah).

Katanya, penubuhan Sekolah Imtiaz itu diilhamkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh pada 1996 hasil daripada program Pintar al-Quran dengan pengambilan tujuh pelajar pertama yang digelar Ashabul Kahfi pada 1999.

Menurutnya, pada 2002 ia didaftarkan sebagai Sekolah Menengah Agama Imtiaz dan sebagai sekolah swasta pada 2003.

“Kemudiannya pada 2004, ia diserahkan kepada YT dan pada 2006 dikawal selia oleh Integrity Icon Sdn Bhd, anak syarikat YT serta diiktiraf sebagai sekolah berasrama penuh kerajaan Terengganu.

“Seterusnya pada 2007, ia didaftarkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah Kementerian Pendidikan sebelum mendapat status sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada 2010,” katanya.

Menurutnya, pelajar Imtiaz Besut dipilih daripada kalangan terbaik daripada yang terbaik dengan 10 peratus dari luar Terengganu.

Katanya, sekolah itu kini mempunyai 550 pelajar dan 120 guru akademik serta guru al-Quran.

“Imtiaz yang bermaksud cemerlang boleh diterjemahkan menerusi enam falsafah iaitu Itqan (kesungguhan), Mahabbah (kasih sayang), Taqwa (taat kepada Allah), Istiqamah (berterusan), Akhlak (budi pekerti ) dan Za’amah (kepemimpinan).

“Kelainan pendidikan kita di sini ialah mendidik hati dan adab serta kemahiran insani selain kecemerlangan dalam akademik,” katanya.

Beliau berkata, setiap pelajar akan memulakan rutin harian dengan qiamullail sekurang-kurangnya dua rakaat solat sunat sebelum Subuh pada jam 5.30 pagi dan menghafal al-Quran pada jam 6.30 pagi.

Katanya, pada jam 7.40 pagi hingga 9.40 pagi pelajar akan mengikuti hafazan bersama guru dengan nisbah satu guru bagi 10 pelajar sebelum sesi akademik bermula jam 9.40 pagi hingga jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, pelajar akan rehat dan tidur sebentar pada waktu rehat tengah hari dan menyambung sesi akademik secara santai bepakaian baju-T jam 2 petang hingga 4.30 petang sebelum mengikuti aktiviti kokurikulum dan rekreasi dari jam 5 petang hingga 6.30 petang.

“Dengan mengikut silibus ditetapkan, pelajar menghafal 30 juzuk al-Quran dalam masa tiga tahun dan mereka juga menyertai sukan sunah seperti berenang, memanah serta berkuda.

“Pelajar dimestikan mengikuti amalan pemakanan sunnah bagi memudahkan hafalan dengan mengambil tiga kurma, tujuh kismis dan segelas susu setiap hari,” katanya.

Beliau yang juga penerima Tokoh Inovasi Transformasi Pendidikan Negara 2015 dan Tokoh Kepimpinan Pengetua SABK 2016 berkata, sekolah itu banyak memenangi anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan sama ada dalam bidang akademik, kokurikulum, sukan serta pelbagai lagi serta pernah menjadi johan inovasi di Taiwan.

Katanya, sesuai dengan mottonya menjadi sekolah terbaik dunia, pelajar dan guru Imtiaz Besut sering mengadakan pelbagai program di dalam dan luar negara untuk meningkatkan kualiti pembelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 3:34 AM
SUASANA pembelajaran yang selesa dengan susun atur menarik di dalam kelas.
SUASANA pembelajaran yang selesa dengan susun atur menarik di dalam kelas.