JAMIL (tengah) beramah mesra dengan penerima Graduan Cemerlang dan Emas Diploma Pengurusan Koperasi di Majlis Konvokesyen MKM, semalam.
JAMIL (tengah) beramah mesra dengan penerima Graduan Cemerlang dan Emas Diploma Pengurusan Koperasi di Majlis Konvokesyen MKM, semalam.
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Maktab Koperasi Malaysia (MKM) bakal dijenamakan sebagai Institut Koperasi Malaysia bagi membolehkan ia memainkan peranan besar sekali gus menjadi hab rujukan koperasi di Asia Pasifik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, MKM dalam proses meminda aktanya bagi menjadikan pusat pengajian itu memainkan peranan yang lebih besar dalam bidang koperasi.

“Oleh itu, MKM melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan Jabatan Kemahiran Malaysia memberi nilai tambah kepada kursus di pusat pengajian terbabit supaya ia lebih bernilai dan eksklusif.

“Melalui kerjasama ini, peserta kursus di MKM akan lebih kompeten untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahirannya bagi membantu melonjakkan pencapaian koperasi ke tahap yang lebih membanggakan selari dengan gerakan koperasi di luar negara,” katanya pada Majlis Konvokesyen MKM Ke-21 di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Jamil Salleh.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah MKM Prof Datuk Mohd Yusof Kasim, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Datuk Dr Noor Zari Hamat dan Ketua Pengarah MKM Prof Madya Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik.

Hamzah berkata, pihaknya berharap MKM dapat meneruskan agenda pembangunan modal insan sepanjang hayat dan berkeupayaan membina generasi muda yang berilmu dalam gerakan koperasi.

“Saya puji dengan setiap usaha yang dimainkan MKM bagi memastikan sektor latihan dan pendidikan dalam gerakan koperasi mencapai matlamatnya. Selain golongan muda, MKM juga tetap meneruskan agenda pendidikannya kepada golongan dewasa dan veteran.

“Melalui kombinasi antara golongan dewasa dan muda ini, ia mampu meningkatkan keupayaan dan pencapaian terbaik gerakan koperasi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, tahun lalu gerakan koperasi menyumbang RM40 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, namun peningkatan RM10 bilion lagi diperlukan bagi mencapai sasaran RM50 bilion menjelang 2020.

“Angka ini adalah petunjuk prestasi utama (KPI) gerakan koperasi. Untuk memastikan hasrat ini dicapai, semua koperasi perlu memainkan peranan meningkatkan pendapatan sekitar lima hingga enam peratus setahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 5:07 AM