ABDUL Fattah
ABDUL Fattah

GERAKAN koperasi berupaya menjadi wadah untuk membantu rakyat memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup melalui aktiviti perkumpulan.

Pembabitan anggota dalam aktiviti koperasi mampu meningkatkan pendapatan mereka, sekali gus menjana pendapatan negara.

Malah, jika dilihat kepada pertumbuhan koperasi di seluruh dunia, hampir satu bilion penduduk dunia sudah mendapat manfaat daripada aktiviti koperasi termasuk mampu menyediakan peluang pekerjaan.

Justeru, usaha Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terutama dalam berdepan pandemik Covid-19, membuka luas peranan gerakan koperasi sebagai benteng membantu masyarakat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ikuti temu bual, wartawan Harian Metro, Sri Ayu Kartika Amri bersama Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah merangkap Presiden Asean Co-operative Organization (ACO).

1) Soalan: Dunia termasuk negara kita sedang menghadapi ketidaktentuan ekonomi akibat penularan wabak Covid-19. Bagaimana penularan wabak Covid-19 ini memberi kesan terhadap Gerakan Koperasi negara?

Jawapan: Koperasi ditubuhkan oleh anggota yang terdiri daripada dari kalangan profesional dan bukan profesional.

Fokus koperasi adalah membangunkan ekonomi anggota dari segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada individu dan keluarga mereka.

Tidak seperti syarikat yang lebih mengutamakan keuntungan kepada syarikat itu sendiri, koperasi pula mementingkan keuntungan untuk diagihkan kepada anggotanya dan pada masa sama membantu komuniti.

Dalam 20 tahun kebelakangan ini Malaysia dan dunia hadapi dua fasa kegawatan ekonomi iaitu pada 1997 dan 2007.

Namun, dalam tempoh terbabit hingga kini jumlah koperasi dan perolehannya masih mampan bahkan semakin meningkat.

Ini jelas menunjukkan Gerakan Koperasi bergerak terus menghadapi kemelesetan ekonomi hampir seratus tahun penubuhannya bermula 1922. Namun, sudah pasti koperasi turut terkesan pendapatan apabila trend perbelanjaan menurun, aktiviti pelancongan berkurangan, kurang pinjaman pembiayaan. Namun, saya yakin dan pasti koperasi akan dapat terus bertahan kerana sokongan anggota.

2) Soalan: Kelembapan perniagaan sejak wabak ini menular menyebabkan ramai hilang pekerjaan dan kurang pendapatan perniagaan atau terputus bekalan makanan. Adakah koperasi boleh membantu memulihkan masalah ini?

Jawapan: Secara am koperasi memainkan peranan sebagai pencetus dan pencipta ekonomi dalam mewujudkan peluang pekerjaan serta mata pencarian.

Peranan koperasi ini dapat dirasai secara menyeluruh kerana manfaatnya merangkumi pelbagai aspek. Sebanyak enam juta daripada 32 juta penduduk Malaysia (20 peratus) adalah anggota koperasi.

Terdapat satu bilion anggota koperasi yang menyediakan 100 juta pekerjaan di seluruh dunia.

Kita tidak boleh sentiasa mengharapkan bantuan dan ihsan. Kita mampu berdiri sendiri. Koperasi lah jawapannya. Rakyat boleh menyertai koperasi yang sedia ada di komuniti atau membangunkan sendiri koperasi yang boleh memberi manfaat bersama.

Modal koperasi disumbangkan oleh anggota. Kita tahu bahawa sepanjang waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ke tahap PKP Pemulihan (PKPP) ini ramai yang tidak mempunyai modal besar bagi menjalankan perniagaan.

Sekiranya tiada modal, kumpul modal menerusi koperasi. Jika tiada kepakaran, cari anggota yang mempunyai kepakaran untuk sama-sama membangunkan koperasi. Jawapannya ada pada koperasi.

Koperasi menawarkan perniagaan yang selamat dan pada masa sama memberi manfaat persekitaran besar kepada masyarakat setempat kerana tadbir urus yang baik dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Setiap keputusan ada aturan, garis panduan dan punca kuasa yang mengurangkan risiko penyelewangan. Modal anggota dapat ditadbir dengan baik dan efisien.

3) Soalan: Adakah penubuhan koperasi membuka peluang pekerjaan baharu?

Jawapan: Tertubuhnya koperasi akan membuka peluang pekerjaan baharu, sekali gus menyumbang kepada peningkatan ruang pekerjaan

Secara ringkasnya koperasi perlu memenuhi keperluan anggota dalam aktiviti perniagaannya. Boleh dikatakan perniagaan dijalankan koperasi adalah berasaskan kepada keperluan komuniti.

Namun, strategi mungkin berubah ubah mengikut keperluan semasa. Ini secara tidak langsung meningkatkan keusahawanan di kalangan anggota koperasi yang mana koperasi akan menjadi platform kepada usahawan untuk mendapatkan bekalan sumber bahan mentah dengan harga lebih murah selain pasaran yang lebih luas.

Kita dapat lihat sekarang banyak koperasi berasaskan komuniti ditubuhkan seperti koperasi kariah masjid, koperasi sekolah, koperasi rukun tetangga dan kejiranan, koperasi peruncitan, koperasi pekerja, koperasi pertanian dan koperasi kredit.

Saya amat bersetuju dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyokong sepenuhnya penubuhan koperasi kariah masjid untuk memperkasa komuniti setempat.

Sejak 2012, ANGKASA berterusan memberi fokus membangunkan komuniti setempat dengan pendekatan menubuhkan koperasi kariah masjid (KKM) sebagai satu instrumen meningkatkan ekonomi, sosial dan budaya. Ini kerana kariah masjid bukan hanya untuk orang Islam, sebaliknya meliputi masyarakat setempat termasuk bukan Islam.

4) Soalan: Bagaimana ANGKASA sebagai Badan Apeks Gerakan Koperasi Negara berperanan menggerakkan pembangunan koperasi?

Jawapan: ANGKASA berperanan menyatukan semua koperasi di negara ini di peringkat nasional dan mewakili gerakan koperasi di peringkat antarabangsa.

ANGKASA sebagai pemudahcara kepada koperasi membantu dari segi nasihat, bimbingan, pelan strategi dan jaringan kerjasama serta mewujudkan rantaian perniagaan bagi membangunkan perniagaan koperasi.

ANGKASA menerusi lapan Sektor Pembangunan Perniagaan Koperasi mengklusterkan koperasi mengikut fungsi supaya proses intervensi dan jaringan dapat dilaksanakan dengan lebih fokus.

Semua sektor ini diwujudkan bagi merancang, merangka, mengatur dan melaksanakan skop pembangunan ekonomi ANGKASA dan bukan sahaja kepada KDNK negara, malah membantu meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat.

Walaupun negara berdepan pandemik Covid-19, ANGKASA tetap meneruskan usahanya bagi membantu koperasi mengembangkan perniagaannya

Salah satunya adalah melalui program eā€“dagang menerusi Platform Barang Asas 100 (BA100) yang menawarkan produk keperluan harian pada harga kompetitif.

Sehingga September 2020, sebanyak 1,457 koperasi berdaftar menjadi peruncit BA100 dan kami menjangka sehingga 3,000 koperasi mendaftar BA100 menjelang akhir 2021.

5) Soalan: Apakah pesanan Datuk khususnya kepada koperasi dan rakyat Malaysia?

Jawapan: InsyaAllah ANGKASA akan terus mencari ruang dan peluang untuk koperasi memperluas perniagaan dan meningkatkan perolehan koperasi demi manfaat anggota.

ANGKASA seru koperasi turut serta dalam platform perniagaan yang disediakan.

Saya juga mengharapkan sokongan rakyat Malaysia untuk terus membeli di kedai koperasi dan menyokong perniagaan koperasi demi manfaat bersama.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, kenali koperasi, dekati koperasi dan ambillah peluang untuk meningkatkan ekonomi keluarga, komuniti dan negara menerusi koperasi. Bekerjasama bersama-sama demi manfaat bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 7:15 AM