PRESIDEN ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah  (kiri) mengisi minyak dalam program isi minyak percuma kepada generasi muda di Stesyen Minyak Petronas,Selama. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
PRESIDEN ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah (kiri) mengisi minyak dalam program isi minyak percuma kepada generasi muda di Stesyen Minyak Petronas,Selama. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


SERAMAI 6.5 juta ahli Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) perlu membuat keputusan bijak dalam menentukan kerajaan ketika mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), esok.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak sudah membuat banyak transformasi dalam melancarkan perjalanan pertubuhan koperasi.

Katanya, pihaknya berpuas hati kerana Perdana Menteri menggalakkan ANGKASA memainkan peranan ke peringkat antarabangsa.

“Sebagai contoh tahun lalu, Perdana Menteri memberi sokongan penuh kepada ANGKASA yang menjadi tuan rumah dalam persidangan koperasi sedunia.

“Mengambil kira pengalaman terdahulu dengan sumbangan dan transformasi yang diberikannya kepada ANGKASA, saya menyeru seramai 6.5 juta ahli koperasi agar membuat keputusan tepat dalam menentukan kerajaan dan tidak mengikut emosi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program isi minyak percuma kepada 3,000 penunggang motosikal generasi muda di stesen minyak Petronas Selama, petang tadi.

Hadir sama, calon Barisan Nasioanl (BN) bagi kerusi Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sementara itu, beliau berkata, pada program itu seramai 3,000 generasi muda turut diberikan pendedahan mengenai koperasi.

Katanya, pihaknya yakin banyak lagi koperasi bakal ditubuh generasi muda dalam meningkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 8:31 PM