Mohd Husni Mohd Noor


MAHKAMAH Majistret Putrajaya pagi ini mengeluarkan perintah reman terhadap seorang lelaki yang dipercayai menjadi orang tengah dalam kegiatan mengutip wang perlindungan daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di Melaka.

Majistret Nadia Othman mengeluarkan perintah reman selama enam hari bermula hari ini kepada suspek berusia 32 tahun itu.

Suspek berkenaan adalah individu ke-11 ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka.

Sejak Rabu lalu, 10 individu termasuk dua Ketua Polis Daerah (KPD) dan lima anggota polis pelbagai pangkat direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Semalam SPRM merampas wang tunai bernilai kira-kira RM800,000 dari rumah koperal polis yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Sumber SPRM berkata, wang tunai berkenaan ditemui dalam stor di rumah anggota polis di kuarters Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ketika serbuan dilakukan pada 2.15 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 11:56 AM
Lelaki yang direman enam hari oleh Mahkamah Majistret, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Lelaki yang direman enam hari oleh Mahkamah Majistret, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah