AHLI Geng 360 Kajang Devan dibawa untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kajang.
AHLI Geng 360 Kajang Devan dibawa untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kajang.
Safeek Affendy Razali

Kuala Lumpur: “Sepatutnya, mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar saja wajar dikenakan tindakan mengikut Akta Pertubuhan jika mereka dikesan melakukan kesalahan,” kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan timbalan pendakwa raya meminda pertuduhan terhadap 57 ahli kumpulan Geng 360 Kajang Devan di Kompleks Penjara Kajang, Khamis lalu yang dianggap mengejutkan.

Ini kerana tuduhan terhadap ahli kumpulan jenayah terancang (KJT) terbabit yang sebelum ini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) secara tiba-tiba dipinda kepada Akta Pertubuhan yang membawa hukuman dianggap jauh lebih ringan.

Berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Geng 360 Kajang Devan sebelum ini ditahan kerana terbabit dalam beberapa siri kes pembunuhan, memiliki senjata api, pengedaran dadah, pemerasan serta culik.

Musa berkata, kumpulan Geng 360 Kajang Devan adalah kumpulan tidak pernah berdaftar kerana mereka terbabit dalam pelbagai kegiatan dan aktiviti jenayah serius.

“Saya tidak rasa ada KJT seperti Geng 360 Kajang Devan ini berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) kerana mereka terbabit dalam aktiviti peras ugut, dadah, culik dan bunuh.

“Mereka (ahli Geng 360 Kajang Devan) melakukan jenayah serius dan wajar dikenakan hukuman sepatutnya berdasarkan jenayah yang mereka lakukan sebelum ini.

MUSA Hassan
MUSA Hassan

“Kalau diikutkan peruntukkan undang-undang paling sesuai sekarang yang digubal Parlimen sebelum ini berdasarkan tindakan kumpulan terbabit (360 Kajang Devan) adalah mengikut peruntukan Kanun Keseksaan.

“Justeru, sebagai langkah susulan paling tepat, PDRM perlu membuat rayuan di mahkamah lebih tinggi dalam mempertahankan tindakan mereka melaksanakan penguatkuasaan SOSMA yang dijalankan terhadap semua kumpulan kongsi gelap atau jenayah terancang sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Seorang lagi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor berkata, tindakan terhadap KJT itu sewajarnya diteruskan kecuali ada sebab-sebab munasabah mengapa pertuduhan SOSMA ditukar kepada Akta Pertubuhan.

“Jika tidak ada cacat cela dengan tindakan pertuduhan di bawah SOSMA maka hukuman terhadap ahli Geng 360 Kajang Devan perlu diteruskan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, jadi kenapa pula pertuduhan ini hendak diubah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 4:45 AM