RAKAMAN  di sebuah bengkel di Taman Bandar Kinrara yang dipecah masuk.
RAKAMAN di sebuah bengkel di Taman Bandar Kinrara yang dipecah masuk.
Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Kehabisan minyak enjin kereta dijadikan alasan tidak munasabah oleh seorang lelaki untuk mencuri di sebuah bengkel kenderaan di Taman Bukit Kinrara, Puchong, di sini.

Dalam kejadian jam 4 pagi Ahad lalu, penjenayah berusia 38 tahun itu dikesan memecah masuk dengan memotong kunci dan pintu hadapan bengkel berkenaan.

Sumber berkata, kejadian berlaku ketika bengkel kenderaan itu ditutup beberapa hari kerana pemiliknya pulang ke kampung halaman bagi menyambut hari raya bersama keluarga.

“Kehadiran suspek di bengkel itu disedari jiran mangsa yang melihat suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Mangsa yang pulang keesokan harinya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mengesan tindakan suspek mengambil barangan berharga,” katanya.

Susulan itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Kinrara di sini.

Berdasarkan maklumat dan risikan, polis berjaya mengesan suspek yang menetap di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Kinrara, Puchong, di sini.

“Suspek kemudian berjaya ditahan semalam dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut.

“Ketika disoal siasat, suspek mengaku mencuri minyak enjin dari bengkel itu dengan alasan mahu menghidupkan semula kenderaannya yang kehabisan minyak enjin berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun hasil siasatan mendapati suspek aktif melakukan kegiatan pecah premis perniagaan di kawasan Bandar Kinrara sejak Mei lalu.

“Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun dan pecah premis perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 10:11 AM