SITI Hajar (tengah) bersama ibunya, Nor’Azmah 55, (kiri) dan Siti Sarah Nadzari, melihat diploma yang diterima, semalam.
SITI Hajar (tengah) bersama ibunya, Nor’Azmah 55, (kiri) dan Siti Sarah Nadzari, melihat diploma yang diterima, semalam.
Nur Ain Musdad

Alor Gajah: Percubaan seorang gadis menukar bidang daripada sains tulen kepada perakaunan berbaloi apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) pada Istiadat Konvokesyen Ke-86 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka di Dewan Taming Sari, Kampus Alor Gajah, di sini, semalam.

Graduan berkenaan, Siti Hajar Nadzari, 22, berasal dari Cheras, Selangor berkata, dia nekad menukar bidang pengajian kerana bosan mengulang kaji subjek sains yang dipelajari sewaktu zaman persekolahan.

Dia berkata, ibunya, Nor’Azmah Za’ba, 55, tidak menghalang perancangannya ketika memaklumkan mahu mengikuti pengajian dalam Diploma Perakaunan.

“Pada mulanya, saya sangka bidang perakaunan mudah cuma perlu mengira saja, memandangkan saya amat meminati subjek Matematik sejak kecil.

“Namun, ketika mengikuti kelas pertama barulah saya sedar bidang ini juga mencabar sama seperti sains tulen, jadi tak boleh main-main ketika belajar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Siti Hajar, anak bongsu daripada dua beradik berkata, dia tidak cepat mengalah, sebaliknya nekad meneruskan pengajian dan kerap mengulang kaji pelajaran.

“Pada kebiasaannya saya lebih gemar menghabiskan masa mengulang kaji subjek diambil secara bersendirian dan akan bertanya kepada pensyarah di dalam kelas jika ada perkara yang tidak difahami.

“Saya sertai rakan untuk mengulang kali apabila tarikh peperiksaan semakin hampir kerana berbincang di dalam kumpulan memudahkan saya faham dan mengingati fakta penting,” katanya.

Dia yang bercita-cita menjadi akauntan dan ahli perniagaan kini mengikuti kursus bagi menduduki peperiksaan Chartered Association of Certified Accountants (ACCA).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 6:37 AM