Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur : Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya mematahkan cubaan seludup dadah oleh sindiket warga Nigeria serta merampas 43.2 kilogram dadah jenis syabu dan 5.4 kg ephedrine membabitkan nilai keseluruhan RM5.7 juta.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, kejayaan itu diperoleh pasukannya dalam operasi berasingan dijalankan JSJN di pintu masuk lapangan terbang negara sejak 13 hingga 16 Disember.

Beliau berkata, dalam rampasan pertama iaitu pada 8.50 malam, Sabtu lalu, sindiket menyeludup masuk dua bungkusan berasingan dengan menggunakan satu dokumen perjalanan udara.

"Satu daripada bungkusan itu mengandungi seluar jeans sementara satu lagi didapati mengandungi sejumlah 20.2 kg syabu.

"Bungkusan itu dihantar dari Abuja, Nigeria menggunakan penerbangan Egypt Air melalui Kaherah ke Kuala Lumpur," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.

Noor Rashid berkata, bagi rampasan kedua pada Ahad pula, seorang lelaki India berusia 44 tahun yang baru tiba dari Chennai, India ditahan dan satu bungkusan mengandungi 5.4 kg ephedrine dirampas.

Sementara itu, 23 kg syabu dirampas pada 7.10 malam tadi hasil pemeriksaan di kargo, katanya.

Namun, polis tidak membuat tangkapan bagi rampasan ketiga itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 5:06 PM