IDRIS (dua dari kanan) dan Badrul ketika pelepasan konvoi Misi Kembara MSAM 2017-UMW.
IDRIS (dua dari kanan) dan Badrul ketika pelepasan konvoi Misi Kembara MSAM 2017-UMW.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Temerloh: Sepuluh pacuan empat roda membawa 30 sukarelawan UMW memulakan konvoi Misi Kembara Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017- UMW ke kawasan pedalaman daerah ini, semalam.

Konvoi Misi Kembara MSAM 2017-UMW itu dilepaskan Timbalan Presiden dan Ketua Pengarah Operasi Kumpulan, Pengurusan Aset, Permodalan Nasional Berhad Datuk Idris Kechot dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad Badrul Feisal Abdul Rahim.

Ketua Unit Korporat UMW Badrul Rahman berkata, kumpulan yang terdiri daripada kakitangan UMW dan pelatih Skim latihan 1Malaysia (SL1M) menjelajah ke tujuh kawasan di daerah ini selama empat hari.

“Konvoi Misi Kembara MSAM 2017-UMW turut mengunjungi Rumah Baitul Makhazin, Kampung Orang Asli Lubuk Perah, Kampung Orang Asli Penchorong, Kampung Orang Asli Sungai Beruang, Kampung Orang Asli Ulu Sungai Bera, Pondok Bukit Keledang dan Kampung Paya Luas.

“Ia bertujuan mempromosikan MSAM 2017 kepada penduduk di kawasan pedalaman di sekitar daerah ini. Ia juga bertujuan menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di mana sukarelawan akan mengagihkan barangan keperluan harian kepada penduduk, selain mengadakan aktiviti berunsur pendidikan untuk kanak-kanak Orang Asli di lokasi jelajah.

“Selain itu, gotong-royong juga diadakan pada hari ketiga jelajah di Kampung Paya Luas untuk membantu 12 keluarga miskin termasuk ibu tunggal membersihkan rumah serta persekitaran kediaman mereka,” katanya ketika ditemui pada acara pelepasan konvoi Misi Kembara MSAM 2017-UMW di Dataran Temerloh, semalam.

Beliau berkata, program kali kedua dianjurkan UMW itu akan memberi manfaat kepada 116 keluarga dan 152 pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 6:35 AM