Zulkifli (kiri) bersama ahli pertubuhan menyiapkan barangan keperluan yang akan disumbangkan ketika konvoi bantuan kemanusiaan khusus untuk mangsa banjir di Pahang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Zulkifli (kiri) bersama ahli pertubuhan menyiapkan barangan keperluan yang akan disumbangkan ketika konvoi bantuan kemanusiaan khusus untuk mangsa banjir di Pahang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Selepas kejayaan sembilan misi menyantuni mangsa banjir seluruh negara sejak Disember lalu, Muslim Care Malaysia (MCM) sekali lagi menggerakkan misi bantuan kemanusiaan menerusi konvoi kenderaan pacuan empat roda ke Pahang.

Presidennya, Zulkifli Wahijan berkata, misi besar-besaran itu membabitkan penyaluran bantuan makanan asas, pakaian serta kit kebersihan membabitkan nilai RM50,000 hasil sumbangan pelbagai pihak.

Katanya, misi berkenaan disertai 100 sukarelawan terdiri daripada MCM sendiri, Khidmat Malaysia serta individu yang juga pemilik kenderaan pacuan empat roda.

"Konvoi besar-besaran ini adalah lanjutan daripada misi bantuan mangsa banjir MCM yang digerakkan sejak pertengahan Disember lalu apabila banjir mula melanda Johor dan Perak.

"Kali ini, kami akan memberi bantuan di beberapa kampung dikenal pasti termasuk di Temerloh, Lanchang, Maran, Benta dan Kuala Lipis.

"Selain barangan keperluan untuk mangsa banjir, kami juga menyediakan lima bot untuk memudahkan kerja penyerahan bantuan terutama di kawasan sukar dan jalan terputus," katanya ketika pelepasan peserta konvoi di MCM Centre di sini, hari ini.

Konvoi kali ini membabitkan 33 kenderaan pacuan empat roda dengan kumpulan pertama berlepas Rabu lalu.

Beliau yang mengetuai konvoi terbabit berkata, walaupun berdepan cabaran seperti Covid-19 dan kenderaan rosak akibat banjir, namun ia tidak mematahkan semangat mereka meneruskan lagi misi itu.

"Cabaran semasa menyampaikan bantuan kadang-kala terpaksa pergi dekat dengan penerima bantuan seperti kanak-kanak dan sebagainya

"Sebenarnya, saya juga baru balik dari Temerloh semalam selepas terperangkap semasa menyampaikan bantuan dua hari lalu.

"Saya bersama 10 orang sahabat menaiki tiga kenderaan terperangkap kerana jalan terputus dan akhirnya terpaksa melalui jalan jauh dari Temerloh ke Gambang sebelum ke Negeri Sembilan yang mengambil masa 10 jam disebabkan jalan sempit dan banyak kenderaan menggunakan jalan sama, namun ia tidak mematahkan semangat kami," katanya.

Katanya, selepas ke Pahang, mereka akan meneruskan misi menyantuni mangsa banjir di Terenganu dan Kelantan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan dan bantuan di akaun MCM di 564490413882 (Maybank), 14014010147170 (Bank Islam) atau 14010007654717 (Bank Muamalat).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 7:48 PM