Mayat mangsa yang terbabit dalam kemalangan  berhadapan Kem Askar Rejimen 512, Padang Midin, Kuala Terengganu. FOTO IHSAN INFO BENCANA TERENGGANU
Mayat mangsa yang terbabit dalam kemalangan berhadapan Kem Askar Rejimen 512, Padang Midin, Kuala Terengganu. FOTO IHSAN INFO BENCANA TERENGGANU
Zatul Iffah Zolkiply


REMAJA maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah kereta dalam kemalangan di hadapan Kem Askar Rejimen 512, Padang Midin, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam kejadian pada 1.40 pagi itu, mangsa Muhammad Ajwad Mohd Nasri, 18, dari Kampung Seberang Baruh, Kuala Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kampung Telaga Mengkudu, Marang menghala ke sebuah stesen minyak di Pengadang Baru.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis EX5 ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah kereta Proton Iswara yang bergerak di hadapannya.

"Kejadian itu disaksikan rakan mangsa berusia 17 tahun yang menunggang sebuah lagi motosikal di belakang mangsa manakala pemandu wanita berusia 53 tahun hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi dentuman kuat dari belakang kenderaannya.

"Difahamkan, pemandu wanita itu dalam perjalanan dari Bukit Payong, Marang menghala ke tempat kerjanya di Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu.

"Sebaik keluar dari keretanya, dia ternampak mangsa sudah terbaring di atas jalan raya tidak sedarkan diri.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat manakala pemandu wanita terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 2:42 PM