ABDUL Fattah (depan, kanan) membawa Niu (kiri) melawat Wisma Ungku Aziz di Kelana Jaya, semalam.
ABDUL Fattah (depan, kanan) membawa Niu (kiri) melawat Wisma Ungku Aziz di Kelana Jaya, semalam.

Kuala Lumpur: Produk keluaran koperasi di negara ini bakal menerjah pasaran China menerusi kerjasama strategik antara Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan pentadbiran Lanzhou, China, dalam masa terdekat ini.

Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya merancang memasarkan lebih 50 produk bernilai RM2 juta untuk permulaan dan ia akan meningkat mengikut permintaan semasa.

Beliau yang juga Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO) berkata, pasaran produk tempatan ke China mempunyai potensi besar membabitkan makanan berikutan permintaan yang tinggi.

“Lanzhou menjadi platform kepada ahli koperasi memasarkan produk masing-masing sekali gus meningkatkan sumber pendapatan mereka.

“Malah, ANGKASA juga membantu koperasi di negara ASEAN lain untuk memasarkan produk mereka nanti,” katanya selepas menerima kunjungan daripada Ketua Jawatankuasa Pentadbiran Lanzhou di Wisma Ungku A Aziz, Niu Xiangdong di sini, semalam.

Abdul Fattah berkata, koperasi mempunyai pelbagai produk berkualiti membabitkan makanan dan mampu memenuhi permintaan semasa di negara berkenaan.

“Kami menubuhkan jawatankuasa bagi merangka dan mengurus penjualan produk koperasi di Lanzhou dan mereka berperanan meneroka pasaran baru untuk barangan terbabit.

“Peluang ini dibuka kepada semua namun kami perlu menilai dulu produk yang mahu dijual supaya memenuhi keperluan pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 4:05 AM