Anggota polis mengusung mayat  Muhammad Syahiran Hakim yang ditemui lemas selepas mandi bersama tiga rakan di Sungai Pak Mat Akar, Kampung Wakaf Mek Zainab.
Anggota polis mengusung mayat Muhammad Syahiran Hakim yang ditemui lemas selepas mandi bersama tiga rakan di Sungai Pak Mat Akar, Kampung Wakaf Mek Zainab.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: “Sebelum kejadian, arwah adik yang dilantik sebagai ketua kelas sempat menerima hadiah keceriaan bilik darjah daripada guru sebelum dia keluar bersama rakan selepas tamat program di sekolahnya,” kata Azman Muhamed Nor@ Zahari, 43, abang kepada Muhammad Syahiran Hakim, 14, yang lemas di Sungai Pak Mat Akar, Kampung Wakaf Mek Zainab, semalam.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, mayat mangsa ditemui pasukan bomba dan penyelamat kira-kira dua meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.

Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paya Rambai.

Difahamkan sebelum kejadian, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab II itu bersama tiga rakannya ke sungai itu untuk mandi.

Azman berkata, adik bongsu daripada 12 beradik itu tidak pernah ke sungai berkenaan yang terletak kira-kira empat kilometer (km) dari rumahnya di Kampung Paya Rambai.

“Ketika kejadian, saya berada di rumah di Kedai Lalat, sebelum dihubungi pihak sekolah pada jam 1 tengah hari yang memaklumkan adik lemas.

“Saya terus datang ke hospital dan terkejut dengan kejadian menimpa,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), semalam.

Menurutnya, adiknya itu seorang anak yang baik dan sebelum kejadian difahamkan arwah sempat mengambil hadiah keceriaan bilik darjah.

“Pemergiannya amat kami rasai, namun reda dengan kejadian menimpa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Kota Bharu Pegawai Bomba Kanan II Mohd Redzuan Baharuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.03 tengah hari dan seramai 12 anggota dari balai Kota Bharu termasuk tiga anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai, usaha mencari dan menyelamat mangsa dijalankan di sungai yang kedalaman empat meter dan menemuinya dua meter dari lokasi dia lemas.

“Mayat diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 8:51 AM