ANAK jati Langkawi, Leftenan Kolonel Mohd Norazan Othman. FOTO BERNAMA
ANAK jati Langkawi, Leftenan Kolonel Mohd Norazan Othman. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Langkawi: Pertunjukan udara sewaktu edisi pertama Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada 1991 menjadi titik tolak kepada seorang anak jati pulau peranginan ini untuk menjadi juruterbang.

Leftenan Kolonel Mohd Norazan Othman, 44, mula meminati kerjaya sebagai juruterbang seawal usia sembilan tahun dan apabila menginjak ke alam dewasa, beliau nekad untuk menggapai impian itu.

LIMA edisi ke-16 kali ini adalah penyertaan kali keenam beliau.

"(Pada 1991) Itu adalah kali pertama LIMA diadakan di Langkawi...saya jadi teruja apabila melihat pertunjukan udara dan nekad untuk menerbangkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia pada LIMA suatu hari nanti.

"Ini adalah penyertaan saya yang keenam dalam LIMA dan terbabit dengan pertunjukan udara iaitu menerbangkan pesawat jenis MiG-29 dan Sukhoi Su-30MKM," katanya kepada Bernama.

Beliau adalah antara 23 juruterbang TUDM yang terbabit dalam pertunjukan udara pada LIMA '23 di sini bermula 23 hingga 27 Mei.

Anak kelima daripada enam beradik ini itu berkata persembahan yang diketengahkan pada edisi kali ini lebih kepada memastikan penonton dapat melihat dengan lebih dekat pesawat yang diterbangkan dan menyaksikan 'lenggokan' Sukhoi lebih ketara.

"Persembahan ini saya fikirkan bersama pasukan dan terbang pada ketinggian rendah dan kelajuan rendah supaya pengunjung dapat melihat katanya.

Ketika menceritakan mengenai kerjayanya itu, Norazan berkata moto hidup 'cinta penghapus cita-cita' yang menjadi pegangan hidupnya sejak di bangku sekolah dibuktikan apabila beliau dilantik sebagai juruterbang TUDM.

Beliau yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Padang Mat Sirat, Langkawi dan Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik Ipoh, Perak memberikan fokus sepenuhnya kepada pelajaran sebelum berjaya melanjutkan pelajaran di Kolej Tentera Udara.

"Saya menyertai TUDM pada 1997 dan meneruskan pelajaran di peringkat Diploma dalam Kejuruteraan Aeronautik sebelum melanjutkan pendidikan di Kolej Tentera Udara dan diberi peluang untuk menyertai kursus sebagai juruterbang pesawat penguji di Kanada," katanya.

Katanya sebagai juruterbang pesawat penguji, beliau bertanggungjawab menguji pesawat yang mengalami perubahan reka bentuk atau komponen utama.

Mohd Norazan yang sudah 25 tahun berkhidmat dalam TUDM menerbangkan 25 jenis pesawat dan kini beliau meneruskan perkhidmatan di Bahagian Perancangan dan Pembangunan TUDM, Kementerian Pertahanan.

"Bukan mudah untuk menjadi seorang juruterbang pesawat penguji kerana ia memerlukan kekuatan mental dan fizikal kerana melibatkan pesawat dan nyawa," katanya sambil memaklumkan hanya terdapat dua juruterbang pesawat penguji dalam TUDM setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 9:49 PM