GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhammad Affan Ahamad

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) kian pesat membangun dan menjadi keutamaan dalam kehidupan masyarakat di seluruh dunia sejak penularan wabak penyakit Covid-19. Penggunaannya tidak asing lagi dalam urusan kehidupan termasuk aspek pendidikan.

Melalui Dasar Pendidikan Digital (DPD) dapat melahirkan murid fasih digital serta memiliki nilai dan etika penggunaan TMK yang baik serta bersedia mengatasi cabaran masa depan bagi merealisasikan karamah insaniah.

Inisiatif itu menzahirkan pembudayaan TMK yang memberi peluang guru meneroka dan mengaplikasikannya dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas. Oleh itu, peranan pendidik untuk memartabatkan Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan di negara ini melalui PdP secara pengimplementasian TMK tidak boleh diketepikan. Pemerkasaan PdP Bahasa Melayu melalui TMK perlu dimantapkan dalam kalangan guru seiring perubahan zaman berteraskan pembelajaran abad ke-21.

Beberapa perkara yang boleh dilaksanakan oleh guru bagi melaksanakan pengupayaan TMK dalam PdP Bahasa Melayu di sekolah. Peranan guru sebagai penyampai ilmu menjadi tunjang dalam kejayaan masyarakat. Tidak dinafikan lagi bahawa penguasaan pedagogi yang berkesan dalam kalangan guru menjadi faktor penentu penguasaan murid dalam pelajaran. Dalam situasi ini, guru memainkan peranan penting untuk menggerakkan proses PdP dengan mengaplikasikan TMK melalui pendekatan, strategi, kaedah mahupun teknik yang bersesuaian. Misalnya, strategi pembelajaran berpusatkan murid sememangnya menggalakkan pembabitan aktif dalam kalangan murid ketika PdP dilaksanakan.

Contohnya, murid boleh meneroka dan mempelajari maklumat melalui penggunaan TMK seperti carian maklumat di internet menggunakan komputer riba yang disediakan KPM melalui aktiviti berkumpulan. Ia boleh mewujudkan hubungan sosial dan sokongan daripada rakan sekumpulan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek. Secara tidak langsung, penggunaan TMK dalam PdP Bahasa Melayu memberi sokongan terhadap Kemahiran Bernilai Tambah (KBT) serta Elemen Merentasi Kurikulum (EMK) dapat diterapkan.

Selain itu, sokongan sumber bahan perisian elektronik yang juga sumber bahan bantu belajar merancakkan pengupayaan digitalisasi dalam PdP Bahasa Melayu. Kepelbagaian sumber bahan perisian elektronik boleh didapati dengan mudah sama ada secara percuma mahupun berbayar. Namun, pemilihannya mesti bersesuaian objektif PdP supaya dapat mewujudkan pembelajaran bermakna dan berkesan kepada murid.

Oleh itu, guru perlu mengenali aplikasi mahupun laman web yang boleh diguna pakai dalam PdP sama ada berbentuk bahan multimedia, audio, video mahupun grafik, teks dan imej. Perlu diingatkan penggunaan bahan bantu belajar elektronik ini perlu menjurus kepada penekanan kemahiran berbahasa meliputi kemahiran mendengar bertutur, kemahiran membaca dan menulis.

Misalnya, aktiviti pembentangan secara berkumpulan boleh dilaksanakan dengan menggunakan perisian Microsoft Power Point, penghasilan komik digital melalui penggunaan aplikasi Canva dan aktiviti lakonan dan kewartawanan melalui rakaman video menggunakan aplikasi terkini seperti CapCut ataupun Filmora dapat dilaksanakan dalam PdP bahasa Melayu.

Seterusnya, keupayaan guru untuk mengimplementasikan TMK dalam PdP menjadi perkara penting dalam melaksanakan pendigitalan pendidikan. Soal berkaitan kemahiran guru untuk melaksanakan PdP berteraskan TMK seharusnya tidak lagi menjadi isu pada masa kini. Kemahiran guru dalam TMK perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa seiring perkembangan teknologi sama ada melalui Latihan Dalam Perkhidmatan (Ladap), webinar mahupun daripada sesi perkongsian amalan terbaik.

Oleh itu, guru dapat meningkatkan kaedah pengajaran yang lebih menarik melalui penggunaan TMK sama ada kandungan bahan bantu belajar itu dibina oleh guru itu sendiri mahupun diperolehi daripada sumber luar. Misalnya, kaedah nyanyian dengan iringan muzik dan video berkaitan topik pengajaran seperti mengenal abjad, kata majmuk mahupun penjodoh bilangan boleh diterapkan dalam aspek seni bahasa semasa PdP dilaksanakan dalam kelas.

Oleh itu, PdP dapat dilaksanakan secara kreatif dan menarik minat murid untuk mempelajari Bahasa Melayu bahkan memudahkan murid memahami dan mengingati pelajaran pada hari itu.

Seterusnya, kecanggihan aplikasi permainan dalam laman web menjadi wadah pemangkin pendigitalan pendidikan. Aplikasi ini perlu dimanfaatkan secara meluas dan sebaik mungkin bagi memudahkan PdP dilaksanakan dengan lebih menyeronokkan dan menjimatkan masa guru menyediakan bahan bantu belajar kepada murid. PdP Bahasa Melayu yang membabitkan aktiviti didik hibur sudah lama diamalkan guru dengan kaedah tradisional sejak dahulu.

Namun, kaedah pengajaran itu perlu ditransformasikan dalam konteks nafas baharu. Dengan adanya teknologi terkini, aktiviti kuiz dan permainan bahasa secara dalam talian boleh dilaksanakan secara interaktif. Pembabitan murid dalam PdP melalui belajar sambil bermain dengan penggunaan aplikasi permainan ataupun gamifikasi boleh diakses dan dilaksanakan secara praktikal dalam kelas.


Penulis Penerima Anugerah Guru Berwibawa Guru Hebat Bahasa (Hari Guru 2023)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 6:00 AM