ANGGOTA polis melakukan lintas hormat ketika  Majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-210 di PULAPOL, Kuala Lumpur.
ANGGOTA polis melakukan lintas hormat ketika Majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-210 di PULAPOL, Kuala Lumpur.
Mohd Firdaus Ibrahim dan Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diakui cekap mengumpul maklumat risikan sekali gus mengekang elemen militan yang cuba menyusup atau merancang melakukan serangan berani mati di negara ini.

Ini terbukti apabila PDRM melalui Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas (E8) Bukit Aman berjaya menahan 31 suspek yang disyaki terbabit dengan aktiviti militan sejak Januari lalu hingga kini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sejak tahun 2001 hingga 2016, seramai 537 individu yang mempunyai kaitan dengan militan pengganas berjaya ditahan.

“Dalam mendepani ancaman militan, kami berjaya mengumpul maklumat risikan keselamatan bagi mengelakkan negara kita mengalami nasib sama dengan negara lain yang menjadi sasaran kekejaman pengganas.

“Tahun ini juga, PDRM mencatatkan beberapa tangkapan baru. Sehingga semalam, seramai 31 individu dapat ditahan,” katanya sempena Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-210 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, pagi semalam.

Terbaru, sembilan lelaki yang disyaki terbabit dalam aktiviti Daish ditahan menerusi operasi khas di sekitar Perak, Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor bermula 15 hingga 21 Mac lalu.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, polis mendapati ancaman kes penculikan di Pantai Timur Sabah semakin reda dan terkawal.

“Ini berikutan tindakan Op Coral pada 8 Disember 2016 lalu yang mengakibatkan ketua penculik terbunuh. Kerjasama pihak keselamatan Filipina turut berjaya melumpuhkan rangkaian penculik yang melakukan onar selama ini,” katanya.

Ketika sidang media, Khalid sempat mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan kelulusan pembinaan stadium bola sepak dan bangunan baru Pusat Unit Tindakan Khas (UTK).

Najib diiringi Khalid turut melakukan pemeriksaan perbarisan anggota polis pada majlis berkenaan. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 10:18 AM