MOHD Harmizuan   (kiri) mengisi petrol percuma  kepada penunggang motosikal   di Stesen minyak Petronas Pasir Pekan.
MOHD Harmizuan (kiri) mengisi petrol percuma kepada penunggang motosikal di Stesen minyak Petronas Pasir Pekan.

Tumpat: Sebuah syarikat pengeluar susu kambing menyasarkan 2,500 penunggang motosikal di seluruh negeri ini bakal menikmati petrol percuma dalam misi jelajah minyak motosikal percuma yang diadakannya di seluruh Kelantan bermula semalam.

Pengurus Mizz Wann Enterprise Mohd Harmizuan Hamzah berkata, program itu akan menjelajah setiap daerah di negeri ini bagi membantu meringankan beban penunggang motosikal.

Katanya, pemberian petrol percuma itu terhad kepada penunggang motosikal 150cc ke bawah.

“Untuk permulaan, hari ini (semalam) kami bermula di stesen minyak Petronas Pasir Pekan. Selepas itu, kami akan memasuki daerah Bachok pada Jumaat ini sebelum disusuli daerah lain.

“Kami jangkakan 2,500 penunggang motosikal akan menikmati sumbangan petrol dengan peruntukan RM50,000 untuk menjayakan program berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Harmizuan berkata, orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program minyak percuma itu boleh melayari laman facebook Mizz Wann Enterprise HQ.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 6:37 AM