Fadillah   (enam dari kiri)  pada Majlis Pembukaan dan Lawatan Tapak Tanjakan Hubungan Kuchai,     semalam.
Fadillah (enam dari kiri) pada Majlis Pembukaan dan Lawatan Tapak Tanjakan Hubungan Kuchai, semalam.

Kuala Lumpur: Sistem pandu terus yang tidak memerlukan pemandu memperlahankan kenderaan ketika membayar tol bakal dilaksanakan sepenuhnya di semua lebuh raya menjelang 2020.

Menteri Kerja Raya Datuk Sri Fadillah Yusof berkata, sistem Aliran Tol Tanpa Henti (MLFF), itu akan dilaksana secara berperingkat bermula 2018 bagi mengurangkan kesesakan di plaza tol dan ia digunakan secara meluas di negara maju termasuk Amerika Syarikat, Australia, Kanada dan Singapura.

Bagaimanapun katanya, projek perintis bagi sistem terbabit dimulakan di Taman Teknologi Malaysia (TPM) bersama syarikat swasta dengan dana dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Tidak perlu lagi plaza tol kerana alat pengimbas untuk pungutan tol dipasang pada galang yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di laluan utama dan strategik. Kenderaan akan dilengkapi pelekat pengenalan frekuensi radio yang diimbas secara automatik setiap kali mereka melalui laluan itu.

“Bayaran tol ditolak daripada akaun pengguna seperti konsep sistem SmartTAG sekarang atau boleh guna kad kredit,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pembukaan dan Lawatan Tapak Tanjakan Hubungan Kuchai di Persimpangan Bertingkat Taman Desa, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Ketua Pengarah LLM Datuk Ismail Md Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 6:41 AM