BERNAMA

Putrajaya: Peserta Belanda, Thomas Bruins mempertahankan gelarannya di Kejohanan Duathlon Powerman Asia - Malaysia 2017, sekali gus kemenangan ketiga berturut-turut untuknya dalam siri itu, tahun ini.

Terdahulu, Bruins memenangi Powerman Thailand pada Januari diikuti Powerman Indonesia bulan lepas.

Bruins menamatkan perlumbaan membabitkan disiplin larian 10 kilometer, berbasikal (60km) dan larian sekali lagi (10km) dalam kategori elit lelaki dalam masa dua jam 33 minit 57 saat.

Beliau meninggalkan peserta Australia, Matt Smith dan Emmanuel Commendador dari Filipina yang masing-masing mencatat 2:38:47s dan 2:48:36s.

Kejayaan itu membolehkan Bruins membawa pulang hadiah wang tunai EUR $1,250 (kira-kira RM6,000).

“Ia adalah pencapaian yang hebat untuk saya memenangi tiga perlumbaan berturut-turut musim ini.

“Selepas ini saya akan berehat sebulan sebelum menyambung persiapan untuk Kejohanan Powerman Jarak Jauh Duathlon Dunia di Switzerland,” kata Bruins.

Beliau berkata perlumbaan Powerman Malaysia tahun ini agak sukar dengan laluan yang mencabar serta cuaca.

“Beberapa laluan lurus menjadikan perlumbaan lebih kompetitif. Hujan renyai sepanjang perlumbaan banyak membantu tetapi di babak akhir perlumbaan, cuaca semakin panas dan cukup menyukarkan,” katanya.

Sementara itu, peserta negara, Jason Loh menamatkan perlumbaan di tempat kelima kategori elit lelaki.

“Ini adalah keputusan yang baik untuk saya dan berharap dapat melakukan lebih baik dalam perlumbaan lain. Saya akan berlatih lebih gigih dan mencatat masa yang lebih baik tahun depan,” kata Loh yang akan mengikuti sesi pemilihan Sukan SEA bulan depan.

Annamaria Eberthardt-Halasz dari Hungary pula muncul juara kategori wanita elit dengan catatan 2:52:05s untuk membawa pulang hadiah wang tunai EUR $1,250.

Monica Torres dari Filipina menduduki tempat kedua dengan masa 3:04:11s manakala peserta Australia, Alexandra McDougall, ketinggalan 19 saat untuk berada di tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 8:22 AM
Bruins
Bruins
PESERTA  menempuh acara berbasikal sejauh 10 kilometer.
PESERTA menempuh acara berbasikal sejauh 10 kilometer.
KEJOHANAN  Duathlon Powerman Asia - Malaysia 2017 menyajikan cabaran hebat buat peserta.
KEJOHANAN Duathlon Powerman Asia - Malaysia 2017 menyajikan cabaran hebat buat peserta.
 PESERTA memulakan langkah pada pelepasan.
PESERTA memulakan langkah pada pelepasan.