peserta Powerman Asia Championship 2016 semasa memulakan larian di Dataran Putrajaya.
peserta Powerman Asia Championship 2016 semasa memulakan larian di Dataran Putrajaya.
 JUARA Powerman Classic Elite, Thomas  (tengah) bersama John (kanan)  dan Gael   semasa majlis penyampaian hadiah.
JUARA Powerman Classic Elite, Thomas (tengah) bersama John (kanan) dan Gael semasa majlis penyampaian hadiah.
myMetro

Putrajaya: Siri Kejohanan Dunia Powerman Asia yang berlangsung, semalam mencipta rekod tersendiri apabila diiktiraf sebagai peserta paling ramai bagi kejohanan duathlon oleh Malaysia Book of Records (MBR).

Pihak penganjur, E-Plus Global Sdn Bhd turut mengesahkan siri kejohanan itu berjaya mengumpulkan peserta teramai setakat ini bagi mana-mana penganjuran siri Powerman yang dianjurkan di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Andrew Ching berkata, siri kejohanan semalam disertai 2,645 peserta termasuk dari 39 negara 1,694 daripadanya adalah peserta tempatan.

Beliau berkata, kejohanan Powerman akan terus menjadi platform pada masa depan bagi melahirkan lebih ramai atlet duathlon di seluruh dunia.

“Kami juga merancang untuk menarik lebih ramai peserta bagi siri kejohanan di Putrajaya tahun depan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Sijil pengiktirafan itu diserahkan oleh wakil MBR Mohamad Alex Edward kepada Andrew sambil disaksikan oleh Naib Presiden (Perkhidmatan Bandar) Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Omairi Hashim.

Pada siri kejohanan semalam, Thomas Bruins, 27, dari Australia mencatat masa terpantas dua jam 35 minit bagi kategori lelaki klasik diikuti, atlet duathlon Filipina, John Leerams Chicano dan tempat ketiga dimenangi oleh Gael Le Bellec dari Perancis.

Manakala, bagi kategori wanita klasik pula, masa terpantas dua jam 57 minit milik Emma Polley, 33, dari United Kingdom manakala, tempat kedua Airi Sawada dari Jepun dan tempat ketiga Mirasol Abad dari Filipina.

Thomas dan Emma masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Biro Pameran & Konvensyen Malaysia (MyCEB) Datuk Zulkefli Sharif berkata, beliau yakin penganjuran siri kejohanan Powerman itu dapat membantu Malaysia untuk menjadi hab sukan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 8:49 AM