Noor Hidayah Tanzizi


Seri Iskandar: "Abang dan adik seikhlas hati menyumbangkan duit simpanan kami kepada rakyat Palestin untuk membantu mereka," kata Muhammad Hakeem Mohd Hafizan, 9.

Muhammad Hakeem dan adiknya, Muhammad Harith, 7, menyumbangkan duit syiling berjumlah RM160 yang diserahkan kepada Muslim Care Malaysia di Surau Al-Munawwarah, Puncak Iskandar, di sini, hari ini.

Muhammad Hakeem berkata, mereka terpanggil membantu selepas melihat serangan Israel terhadap rakyat negara itu yang turut menyebabkan kanak-kanak terbunuh.

Menurutnya, duit tabung itu disimpan sejak awal tahun lalu melalui baki belanja sekolah diberikan bapa, Mohd Hafizan Mohd Zin, 37, untuk membeli telefon bimbit baharu.

"Kami sangat kasihan dan sedih apabila melihat berita kemusnahan dan kematian rakyat Palestin di televisyen sejak beberapa hari lalu.

Muhammad Hakeem (kiri) bersama adiknya, Muhammad Harith menyerahkan wang tabung mereka kepada Mohd Johari Ismail di Surau Al-Munawwarah, Puncak Iskandar, Seri Iskandar. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Muhammad Hakeem (kiri) bersama adiknya, Muhammad Harith menyerahkan wang tabung mereka kepada Mohd Johari Ismail di Surau Al-Munawwarah, Puncak Iskandar, Seri Iskandar. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.

"Sebab itu kami beritahu abi untuk menyumbangkan duit tabung, tidak mengapalah tak dapat telefon bimbit baharu sebab kami gembira dapat bantu rakyat Palestin," katanya ketika ditemui di sini.

Dua beradik berkenaan menyerahkan wang simpanan mereka kepada Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia Mohd Johari Ismail sambil disaksikan Ahli Parlimen Parit Datuk Mohd Nizar Zakaria, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Belanja Khairudin Abu Hanipah dan Adun Bota Khairul Shahril Mohamed.

Sementara itu, Mohd Nizar berkata, sebanyak RM44,345 hasil sumbangan beberapa surau, badan bukan kerajaan (NGO), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan individu di Parlimen Parit diserahkan kepada Muslim Care Malaysia bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman regim zionis Israel.

Katanya, jumlah sumbangan itu dikumpul hanya dalam tempoh empat hari.

"Kerajaan negeri juga meluluskan sumbangan RM100,000 yang akan diserahkan kepada Muslim Care Malaysia dalam masa terdekat selain dana daripada kutipan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 7:43 PM