BOMBA memadamkan kebakaran di bangunan dalam pembinaan.
BOMBA memadamkan kebakaran di bangunan dalam pembinaan.
myMetro

Shah Alam: Tindakan pantas bomba memadamkan kebakaran tiga kedai mengawal api daripada merebak ke bangunan berdekatan sebuah pusat beli-belah di Seksyen 13 di sini, jam 12.30 tengah malam, semalam.

Kebakaran di lokasi yang dalam pembinaan itu dipercayai bermula kebakaran di tingkat bawah sebuah lot bangunan di situ.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam Azmel Kamarudin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 12.48 tengah malam.

“Selain jentera, 15 pegawai dan anggota bomba termasuk dari Kota Anggerik dikerah dalam operasi memadamkan kebakaran itu.

“Setibanya di tempat kejadian, api didapati marak membakar bahagian tingkat bawah bangunan itu,” katanya, semalam.

Menurut beliau, api berjaya dikawal pada jam 1.15 pagi, namun anggota bomba masih menjalankan pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Kata Azmel, tiada sebarang kemalangan nyawa dilaporkan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 8:18 AM