Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket memproses pil ekstasi didalangi warga tempatan dengan merampas sejumlah dadah bernilai hampir RM12 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pauh Jaya, di sini, kelmarin.

Bertindak berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pulau Pinang dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah Seberang Perai Tengah menyerbu rumah berkenaan pada 9.30 pagi.

Namun, dua suspek didapati cuba melarikan diri dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Range Rover Evoque, selain turut merempuh kenderaan polis sebelum kedua-dua mereka berusia 33 dan 37 tahun berjaya ditahan di Taman Sutera, Seberang Jaya yang terletak kira-kira dua kilometer daripada lokasi serbuan.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, polis kemudian yang dipandu arah oleh suspek dibawa ke lokasi serbuan sebelum membongkar kegiatan memproses dadah di rumah berkenaan yang dijadikan makmal haram.

"Pemeriksaan ke atas rumah itu menemui pelbagai jenis dadah antaranya serbuk ekstasi seberat 170.3 kilogram (kg); 23.6 kg pil ekstasi; 3,500 biji pil Eramin 5; 22 gram ganja, 25 kg serbuk kafein; 10 liter cecair alkohol dan tiga unit mesin tablet yang kesemuanya bernilai lebih RM11.8 juta.

"Kesemua dadah bersama peralatan memproses bahan larangan itu dirampas untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.

SAHABUDIN (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang media kejayaan pembongkaran makmal haram memproses dadah ekstasi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT), Bandar Perda. FOTO Danial Saad
SAHABUDIN (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang media kejayaan pembongkaran makmal haram memproses dadah ekstasi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT), Bandar Perda. FOTO Danial Saad

Menurutnya, soal siasat yang dijalankan turut mendedahkan identiti seorang lagi ahli sindiket lain yang dipercayai bersubahat dalam kegiatan berkenaan.

"Jadi, pada hari sama polis menyerbu sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah dan menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga adik kepada seorang daripada suspek yang ditahan pada 5.30 petang.

"Ujian saringan air kencing yang dijalankan suspek pertama dan kedua didapati positif dadah manakala suspek ketiga negatif dadah," katanya.

Shabudin berkata, selain rampasan dadah polis turut menyita enam kenderaan mewah, sebuah motosikal jenis Kawasaki Z800 dan barang kemas bernilai RM525,800.

"Melalui siasatan sindiket ini mula beroperasi sejak September tahun lalu dengan menyewa sebuah rumah di kawasan elit bagi mengaburi mata pihak berkuasa manakala dadah dihasilkan untuk pasaran tempatan.

"Siasatan lanjut polis juga mendapati sindiket terbabit menjual pil ekstasi yang dihasilkan secara borong kepada pengedar pada harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran iaitu sekitar RM5 hingga RM10 sebiji sebelum dijual pada harga pasaran sekitar RM25 hingga RM30 sebiji.

"Mereka juga menghasilkan jus MDMA dengan membungkus semula dalam pek minuman segera dan dijual pada harga sekitar RM250 hingga RM300 di pusat hiburan," katanya.

Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 2:04 PM