TARIKH asal tamat pinjaman buku itu ialah 26 Disember 1939. FOTO Perpustakaan Pusat Helsinki Oodi
TARIKH asal tamat pinjaman buku itu ialah 26 Disember 1939. FOTO Perpustakaan Pusat Helsinki Oodi
Agensi

Helsinki: Buku yang dipinjam dari sebuah perpustakaan di Helsinki, akhirnya dipulangkan selepas 84 tahun, lapor The Guardian.

Novel sejarah karya Sir Arthur Conan Doyle berjudul 'Refugees' versi terjemahan Bahasa Finland itu, diterima oleh pustakawan Heini Strand di meja utama di Perpustakaan Pusat Helsinki Oodi, Isnin minggu lalu.

"Tarikh tamat pinjaman (buku ini) adalah 26 Disember 1939," kata Strand.

Bagaimanapun, individu yang memulangkan buku itu dan peminjam asalnya, masih tidak diketahui.

"Biasanya pinjaman seperti ini dipulangkan beberapa dekad selepas tarikh tamat tempoh adalah buku yang ditemukan apabila orang menyelongkar barang-barang saudara-mara yang sudah meninggal dunia.

"Orang ramai mahu melakukan perkara yang betul dan memulangkan buku yang menjadi hak milik perpustakaan. Saya rasa itu bagus," kata Strand.

Penjelasan yang mungkin untuk pemulangan itu adalah tarikh asal tamat pinjaman buku berkenaan, jatuh sebulan selepas pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Finland, pada November 1939, kata Strand.

"Pemulangan buku itu mungkin bukan perkara pertama dalam fikiran peminjam apabila tarikh tamatnya semakin hampir," katanya.

Buku itu adalah novel sejarah yang diterbitkan pada 1893 dan berlatarkan Perancis abad ke-17. Ia ditulis oleh pengarang British yang terkenal dengan kisah Sherlock Holmes.

Menurut Strand, perpustakaan mungkin menjadikan buku itu yang juga edisi diterbitkan pada 1925 itu tersedia untuk pinjaman kepada orang ramai kerana ia diterima semula dalam keadaan yang begitu baik.

"Kualiti buku lama biasanya jauh lebih baik daripada yang baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 12:48 PM