TENGKU Adnan menyampaikan ucapan  pada Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan Peringkat Parlimen Titiwangsa.
TENGKU Adnan menyampaikan ucapan pada Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan Peringkat Parlimen Titiwangsa.
Ardyhansah Amat


Kuala Lumpur: Orang ramai digesa mengubah sikap negatif dalam kehidupan seharian bagi memberi gambaran positif mengenai bandar raya ini di mata dunia.

Menteri Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Kuala Lumpur adalah ‘jendela negara’ yang menjadi kayu ukur penilaian masyarakat luar terhadap Malaysia.

“Justeru, sebagai penduduk di bandar raya ini, kita mempunyai tanggungjawab untuk mengikis sikap negatif termasuk membuang sampah merata-rata dan sebagainya yang boleh mencacatkan persekitaran.

“Saya percaya jika sikap negatif ini tidak diubah, ia bukan saja akan memburukkan penilaian masyarakat luar, tetapi turut memudahkan masyarakat dipengaruhi dengan pelbagai unsur negatif yang lain,” katanya ketika merasmikan Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan di Parlimen Titiwangsa, di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Titiwangsa merangkap Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Setiausaha KWP Datuk Seri Adnan Md Ikshan.

Adnan berkata, program seperti ini adalah perlu bagi membolehkan pemimpin berjumpa secara langsung dengan rakyat bagi mendengar sendiri denyut nadi serta kehendak orang ramai.

“Tiada kerajaan di dunia yang maksum atau sempurna, namun kerajaan hari ini berusaha untuk membawa perubahan lebih baik kepada negara sekali gus memberi keselesaan kepada rakyat.

“Segala perubahan dan kemajuan yang dirancang akan berjaya dengan syarat jika rakyat terus menyokong kerajaan,” katanya.

Terdahulu, dianggarkan lebih 2,000 pengunjung hadir pada majlis tersebut yang turut diadakan di dua lokasi lain iaitu Pangsapuri Teratak Muhibbah, Taman Desa dan Pangsapuri Teratai Mewah masing-masing terletak di Parlimen Seputeh dan Wangsa Maju.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 9:21 AM