MANGSA dibantu orang ramai sebelum dihantar ke hospital.
MANGSA dibantu orang ramai sebelum dihantar ke hospital.

Klang: Akibat melanggar lampu isyarat merah, seorang penunggang motosikal nyaris maut selepas merempuh sebuah van dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Haji Sirat menghala ke Jalan Meru di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa Muhammad Amir Mat Lazim, 26, dari Jalan Meru, tercampak ke bahu jalan selepas motosikalnya gagal mengelak van berkenaan.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Klang Utara Asisten Superintendan Muhammad Irwani Nooruldin berkata, siasatan awal mendapati pemandu van berkenaan mahu memasuki simpang ke Jalan Bahagia, namun kenderaan itu tidak berhenti ketika lampu isyarat merah.

Menurutnya, pemandu van tidak cedera dan penunggang motosikal cedera di kaki kiri dan tangan kanan.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu van yang sedang membelok ke kanan menghala ke Jalan Bahagia dilanggar penunggang motosikal yang datang dari Jalan Meru.

“Pemandu van dipercayai melanggar lampu isyarat merah ketika kejadian dan keadaan jalan kering serta cuaca cerah,” katanya.

Muhammad Irwani berkata, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 8:01 AM