KEADAAN kapal Nautical Aliya melewati perairan Selat Melaka, semalam.
KEADAAN kapal Nautical Aliya melewati perairan Selat Melaka, semalam.

Pelabuhan Klang: Khidmat tiga penyelam digunakan untuk membuang tali sepanjang 10 meter yang tersangkut pada kipas enjin Nautical Aliya, semalam.

Ia menyebabkan jadual perjalanan tertangguh 10 jam selepas kapal berpatah balik ke Pelabuhan Utara kerana masalah itu.

Ketua Misi Flotila Kemanusiaan Ke Myanmar Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ia dikesan jam 11 malam kelmarin dan pengendali kapal memutuskan perlu berpatah balik ke dermaga 15 pelabuhan itu sementara menunggu kerja selesai.

“Kita gunakan kesempatan ini untuk muatkan lagi 500 tan barangan selepas dimaklumkan kapten bahawa jumlah itu masih boleh diisi selain daripada yang berada di atas kapal.

“Kapal Nautical Aliya yang kini sedang merentasi perairan Selat Melaka dijangka tiba di Pelabuhan Yangon Myanmar pada 10.30 malam Rabu ini,” katanya pada sidang media tengah hari semalam.

Hadir sama, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid dan kapten kapal Mohd Firdaus Faisal Mohamed.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, penganjur misi sudah mendapat kebenaran memasuki Bangladesh malam kelmarin selepas dihubungi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Katanya, ia membuktikan hubungan baik kedua-dua negara dan petanda bahawa semua pihak ingin membantu masyarakat Muslim terutama Rohingya.

Sementara itu, Mohd Azmi berterima kasih kepada kedua-dua negara yang memberi kebenaran masuk dan memberi bantuan di sana.

“Kita sambut baik perkembangan ini dan kita akan melakukan terbaik demi ummah kerana kita mahu memastikan tiada satu barang pun tercicir,”katanya.

Nautical Aliya diiringi dua kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sepanjang berada di perairan negara.

Ia membawa bersama 195 sukarelawan serta 15 kru berlepas jam 4.25 petang kelmarin dari Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 5:19 AM