SHAREEN  dan  Jose  pada pelancaran kempen Anmum Lacta MummyTime, di Menara Surian.
SHAREEN dan Jose pada pelancaran kempen Anmum Lacta MummyTime, di Menara Surian.
Fazurawati Che Lah

Petaling Jaya: Kira-kira 79 peratus ibu di Malaysia tidak berpuas hati dengan sokongan dan kemudahan khususnya bilik penyusuan yang disediakan oleh majikan apabila mereka kembali bekerja selepas melahirkan anak.

Pengarah Urusan Fonterra Brands Malaysia Jose Miguel Porraz berkata, kaji selidik MummyTime yang dijalankan ke atas 360 ibu bekerja di negara ini turut menunjukkan hanya satu daripada empat wanita mempunyai bilik menyusu di tempat kerja.

“Hal ini menyebabkan ibu terpaksa menggunakan ruang awam seperti bilik mesyuarat, kubikel kerja malah tandas untuk menghasilkan susu badan.

“Manakala 83 peratus ibu menyatakan sekiranya ada kemudahan bilik menyusu di tempat kerja, produktiviti kerja mereka akan meningkat sebanyak 50 peratus atau lebih,” katanya pada majlis pelancaran kempen MummyTime bersama TalentCorp Malaysia, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp Shahreen Shariza Abdul Ghani.

Kempen Mummy Time dengan kerjasama TalentCorp Malaysia bertujuan membantu ibu berkerjaya dalam menyediakan aturan kerja yang lebih fleksibel dengan kemudahan yang mesra ibu bapa seperti bilik menyusu.

Selain itu, agensi itu yang akan bekerjasama dengan majikan memperkenalkan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja, cuti bersalin tambahan, cuti paterniti, rangkaian sokongan ibu bapa dan subsidi.

Menurut Jose Miguel, bilik menyusu yang ideal dalam suasana yang tenang dengan kemudahan selesa mampu membantu ibu mendapatkan susu badan yang optimal.

“Lebih 85 peratus ibu di Malaysia bersetuju persekitaran yang senyap dan relaks penting untuk memenuhi emosional ketika menyusu.

“Justeru, bilik menyusu Anmum Lacta berperanan sebagai ruang peribadi yang membolehkan mereka menghasilkan susu badan dalam suasana yang tenang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:17 AM