MUSA Awang. FOTO Saddam Yusoff
MUSA Awang. FOTO Saddam Yusoff
Suraya Roslan


PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) merayu pertimbangan kerajaan dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) membantu lebih 3,500 peguam syarie seluruh negara yang terjejas sumber pendapatan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya Musa Awang menggesa MAIN melalui Baitulmal negeri memberikan bantuan secara one-off kepada semua peguam syarie di negeri masing-masing sekurang-kurangnya RM1,000 setiap orang bagi membantu meringankan beban ketika pandemik Covid-19.

“Data dan maklumat setiap peguam syarie boleh diperoleh daripada Setiausaha Jawatankuasa Peguam Syarie di setiap negeri.

“Selain itu, MAIN mengecualikan bayaran pembaharuan sijil amalan tahunan bagi 2020 berikutan setiap tahun peguam syarie yang beramal akan memperbaharui Sijil Amalan Tahunan mereka dengan bayaran sekurang-kurangnya RM100 hingga RM250 setahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, selain itu kerajaan perlu menghentikan sementara sumbangan mandatori daripada majikan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sekurang-kurangnya hujung tahun ini.

“Pihak kerajaan juga boleh menyalurkan bantuan dalam bentuk geran kepada PGSM untuk membantu peguam syarie melalui pihak persatuan.

“Seandainya krisis ini berpanjangan, PGSM sedia untuk dibabitkan dalam apa-apa perbincangan bagi menangani kesan ekonomi dan sosial kepada golongan peguam syarie khususnya dan masyarakat Malaysia amnya,” katanya.

Katanya, hakikatnya sepanjang PKP dilaksanakan, semua prosiding di mahkamah syariah ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum diketahui menyebabkan peguam syarie hilang punca pendapatan mereka.

“Pejabat atau firma peguam syarie terpaksa ditutup, kakitangan tidak dapat berkerja dan yuran guaman tidak dapat dikutip daripada anak guam.

“Anak guam juga turut terjejas sumber pendapatan mereka dan tidak dapat membuat bayaran kepada kami selaku peguam syarie yang dilantik.

“Kebanyakan peguam syarie adalah usahawan Melayu yang mempunyai firma sendiri dan menggaji pekerja dan mereka tidak mencarum dalam KWSP kerana mereka adalah majikan yang perlu membayar caruman KWSP pekerja. Gaji bulanan pekerja terpaksa dibayar, KWSP pekerja terpaksa dicarum, sewa pejabat, pinjaman perumahan, sewa beli kenderaan, simpanan peribadi dan sebagainya terpaksa dibayar termasuk nafkah kepada tanggungan juga perlu dilunaskan,” katanya.

Musa berkata, sebahagian besar peguam syarie adalah peguam muda yang baru membina karier dan belum kukuh ekonomi dan kewangan mereka termasuk pelatih dalam Kamar yang baru bergraduasi dan sedang menjalani latihan di firma,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 3:48 PM