NUR Khalida menunjukkan tanaman labu yang ditanam secara hibrid di MAHA 2016.
NUR Khalida menunjukkan tanaman labu yang ditanam secara hibrid di MAHA 2016.
Nor 'Asyikin Mat Hayin

Serdang: Sekali pandang tanaman ini seperti pokok hiasan tetapi sebenarnya adalah pokok sayur-sayuran jenis menjalar yang ditanam secara hibrid menggunakan kaedah ‘canopytechture’.

Canopytechture ialah sistem struktur penyokong ringkas yang direka bentuk oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk penanaman tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan jenis menjalar.

Ia adalah struktur berpara khas yang direka bentuk bersama dengan sistem pasuan ‘self-watering container’ bagi membolehkan tanaman itu melilit, menjalar dan berpaut.

Keunikan tanaman itu boleh dilihat di MAHA 2016, yang ditanam oleh petani muda Nur Khalida Zakiriah, 25, di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS), sehingga 11 Disember.

Nur Khalida berkata, tanaman hibrid canopytechture adalah satu kaedah pertanian moden yang sesuai diaplikasikan untuk pertanian bandar.

“Tanaman ini adalah hasil daripada pendebungaan silang antara dua variasi tumbuhan yang berlainan yang dilakukan secara komersial bagi mendapatkan hasil tanaman lebih berkualiti berbanding kaedah konvensional,” katanya.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, setakat ini lebih 50 jenis tanaman hibrid yang ditanam di rumah sewanya di Rawang dan ibu bapanya di Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 5:51 AM