POKOK daun rerama diusahahan Huzaidi (kiri) semakin mendapat sambutan ramai.
POKOK daun rerama diusahahan Huzaidi (kiri) semakin mendapat sambutan ramai.
ANAK pokok anggur diusahakan Huzaidi di LALF kerana banyak permintaan daripada orang ramai.
ANAK pokok anggur diusahakan Huzaidi di LALF kerana banyak permintaan daripada orang ramai.
ORKID hibrid sering mendapat permintaan wanita.
ORKID hibrid sering mendapat permintaan wanita.
D J Dolasoh

Lawin Agro Ladang Fertigasi (LALF) di Lawin, Gerik, Perak, satu-satunya ladang yang bukan saja mengusahakan tanaman, tapi turut menjual pelbagai anak benih pokok buah-buahan dan bunga di Hulu Perak.

LALF menyemai anak benih atau nurseri pokok secara sistematik dan dijual pada harga berpatutan di tepi jalan utama Lenggong-Gerik berhampiran lokasi pasar sehari pekan Lawin.

Huzaidi Mohamed, 43, graduan ijazah Kejuruteraan Elektrikal dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur ini menggunakan kaedah teduhan rumah pelindung hujan (RPH) sebagai asas bagi penjagaan tanaman.

Beliau yang mengusahakan tanaman cili kulai sepanjang tahun dan tembikai wangi atau tembikai Jepun tiga kali setahun ini komited terhadap usaha pertanian sejak 12 tahun lalu.

Malah, turut menerima bantuan dan nasihat daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perak serta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerik.

Bapa kepada tiga anak itu menumpukan kepada tanaman cili kulai sebanyak 1,100 pokok yang sedang dipungut hasil dan akan meneruskan tanaman tembikai wangi.

“Saya tidak kesal ‘terjun’ di bidang pertanian meskipun memiliki ijazah di bidang Elektrik dari UTM sejak 1995. Saya kini menjadi usahawan pertanian berjaya,” katanya ditemui di ladang LALF Lawin, Gerik, baru-baru ini.

Sementara nurseri pokok diusahakan Huzaidi menyebabkan LALF menjadi tumpuan pembeli yang mahukan anak benih pelbagai pokok untuk ditanam terutama di sekitar rumah kediaman.

Antaranya anak pokok anggur dan pokok daun rerama yang terbukti boleh membantu mencegah penyakit barah turut mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

“Selain itu, saya turut menyemai pelbagai pokok yang sering diminta pembeli antaranya durian belanda buah besar, jambu madu, laici, ciku, mempelam, tampoi kahwin dan pelbagai jenis durian bermutu tinggi.

“Manggis kahwin, kelapa ratus, limau lemon, petai hibrid malah cermai manis dan anak pokok asam gelugur turut saya usahakan dan sedia dijual kerana ia mendapat sambutan daripada pembeli,” katanya.

Huzaidi yang dibantu empat pekerjanya juga mengusahakan semaian pelbagai bunga dan orkid termasuk orkid hutan serta orkid hibrid berbunga bagi memenuhi permintaan pelanggan yang berkunjung ke LALF itu.

Selain itu, usaha tambahan terkini Huzaidi mencipta dua bentuk tapak tanaman sayur-sayuran mesra kediaman.

Ia menerusi penggunaan batang saluran paip UPBC sebagai tempat untuk menanam pelbagai jenis sayuran terutama yang berdaun.

“Tempat tanaman ini sesuai digunakan di rumah flat atau taman perumahan yang tidak ada tanah untuk bercucuk tanam kerana tapak UPBC ini boleh diletak di dinding dalam rumah atau di kawasan koridor.

“Tapak tanaman ini lengkap dengan tempat takungan air supaya sayur-sayuran sentiasa mencukupi air dan tidak mati meskipun dua hingga tiga minggu sekali air diisi ke dalam takungan itu.

“Antara sayuran yang boleh ditanam di tapak ini ialah sawi, cili kecil, pegaga, kunyit, kari pulai dan sayur-sayuran renek lain yang ditanam sendiri tanpa menggunakan sebarang racun serta lebih selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 12:41 PM