ANTARA pasar raya yang mengehadkan pembelian dua peket gula sahaja untuk pelanggan.
ANTARA pasar raya yang mengehadkan pembelian dua peket gula sahaja untuk pelanggan.

Batu Pahat: Isu kekurangan bekalan gula dilihat mula membelenggu orang ramai apabila ada beberapa pasar raya di sini, mula membuat catuan sejak kelmarin.

Hasil maklumat orang awam dan tinjauan Harian Metro semalam mendapati sesetengah kedai runcit dan pasar raya di pinggir bandar ini memasang notis peringatan kepada pelanggan supaya membeli gula pasir dalam kuantiti terhad.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati tindakan mencatu itu tidak merebak secara meluas berikutan majoriti pasar raya dan kedai runcit di kawasan bandar masih mengawal stok dan jualan gula dengan baik.

Menurut pelanggan yang mahu dikenali sebagai Rahimah, 38, ada beberapa pasar raya yang hanya membenarkan pengguna membeli maksimum dua peket gula satu kilogram dan jika ada permintaan lebih, mereka perlu berurusan dengan pengurusan pasar raya terbabit.

Katanya, arahan berkenaan juga jelas tertera pada poster khas diletakkan di sudut utama berdekatan rak pameran gula pasir di pasar raya terbabit.

“Terkejut saya apabila terlihat papan tanda catuan berkenaan. Selama ini tiga atau empat peket pun tiada masalah untuk dibeli.

“Catuan gula ini mengingatkan saya kepada masalah catuan minyak masak yang akhirnya membawa kepada isu kenaikan harga bahan terbabit,” katanya.

Peniaga, Adi Ariff A Aziz, 39, berkata, sebagai peniaga kedai makanan, keadaan itu menyulitkannya memandangkan dia menggunakan gula pasir dalam kuantiti yang banyak untuk kegunaan harian.

“Keadaan ini memberi kesulitan bagi kami untuk mendapatkan bekalan gula dan perniagaan kami sedikit sebanyak terganggu serta kemungkinan terpaksa menaikkan harga makanan dan minuman jika ia terus berlaku.

“Saya berharap sangat ia bukan satu petanda untuk harga gula dinaikkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Nor Nekman Jaimon berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan daripada orang ramai mengenai masalah gula.

Katanya, hasil pemantauan Pegawai Pemantauan Harga (PPH) mendapati tiada berlaku catuan pembelian gula pasir seperti yang didakwa.

“Kedudukan stok gula pasir di 15 premis yang dipantau PPH masih stabil seperti biasa dan pengguna masih boleh mendapatkannya,” katanya.

“Bekalan gula mencukupi. Pegawai kami sedang siasat kenapa dan mengapa kedai tersebut buat kuota jualan. Selepas itu, kita akan rujuk dan siasat kepada pembekal mengapa tidak membekal sehinggalah ke peringkat akar umbi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 7:34 AM