NORSAHIRA
NORSAHIRA
Sazali (kiri) dan Abdul Talib (tengah) melihat pembaikan rumah termasuk kerja pendawaian elektrik dilakukan di rumah keluarga Norsahira di Kampung Cheng, semalam.
Sazali (kiri) dan Abdul Talib (tengah) melihat pembaikan rumah termasuk kerja pendawaian elektrik dilakukan di rumah keluarga Norsahira di Kampung Cheng, semalam.
Nor Shafinaz Sari

Melaka: Dia hilang deria penglihatan sejak kecil namun kekurangan itu bukan penghalang bagi seorang remaja melakukan kerja rumah seperti melipat kain dan memasak nasi untuk nenek dan empat saudaranya.

Norsahira Zaini, 17, berkata, dia sudah lama melakukan kerja rumah menyebabkan dia tidak lagi kekok kerana hafal lokasi periuk nasi di dapur dan tempat menyimpan kain siap dilipat.

Katanya, walaupun buta, dia paling diharapkan dalam keluarga kerana dua daripada lima saudaranya berusia 15 hingga 20 tahun juga orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran, manakala neneknya, Nona Kecik, 75, sudah uzur.

Dia berkata, mereka kerap berhadapan masalah kewangan berikutan kakak dan abangnya berhadapan masalah mencari pekerjaan tetap manakala adik bongsu lelaki yang berusia 15 tahun masih bersekolah.

Menurutnya, ibu mereka meninggal dunia tiga tahun lalu manakala bapa pula tinggal berasingan selepas berkahwin lain dan sekarang mereka enam beranak kekal di rumah peninggalan keluarga itu di Kampung Cheng, di sini.

“Sejak lahir mata kiri saya disahkan tidak berfungsi dan saya membesar dengan hanya sebelah mata. Namun malang menimpa apabila mata sebelah kanan pula buta terkena bunga api ketika kecil.

“Kehilangan penglihatan menyebabkan impian saya bergelar guru lebur ditambah masalah kewangan selepas kematian ibu menyebabkan saya berhenti sekolah ketika di tingkatan tiga,” katanya.

Norsahira berkata, selain bergantung kepada pendapatan kakak dan abangnya, mereka turut mengharapkan ihsan jiran memberi keperluan dapur.

Anak ketiga dalam keluarga itu berkata, akibat tiada wang, dia dan keluarga pernah beberapa kali berlapar seharian sebelum jiran bersimpati datang menghulurkan bantuan.

“Sekarang hanya adik bongsu bersekolah, itu pun dengan ihsan guru yang menanggungnya. Sebelum ini saya pernah buat permohonan mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Namun terbantut kerana mengikut prosedur, pemohon perlu berusia 18 tahun ke atas. Berikutan itu saya kena tunggu tahun hadapan, abang dan kakak pula berusaha mencari pekerjaan baru,” katanya.

Terdahulu, enam beranak itu menerima kunjungan kakitangan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) diketuai Timbalan Pengerusi Datuk Abdul Talib Bachek yang turut menyampaikan sumbangan serta bergotong-royong membersihkan rumah itu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Sazali Muhd Din.

Pada kunjungan itu, Norsahira turut menerima berita gembira apabila SAMB bercadang menajanya melanjutkan pengajian dalam kemahiran urutan di kolej swasta tahun hadapan.

“Memang saya berhasrat sambung pengajian, peluang seperti ini amat saya hargai kerana mahu buktikan OKU juga boleh berjaya, sekali gus mengubah nasib keluarga kami,” katanya.

Sazali berkata, SAMB menyediakan peruntukan RM15,000 bagi melakukan kerja membaik pulih rumah keluarga berkenaan.

“Usaha ini sebahagian program tanggungjawab sosial korporat SAMB. Berhubung penajaan pengajian untuk Norsahira, SAMB bercadang menghantar gadis itu ke kolej di Kuala Lumpur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 9:38 AM