KAMALANATHAN bersama peserta pertandingan akhir selepas majlis penyampaian hadiah.
KAMALANATHAN bersama peserta pertandingan akhir selepas majlis penyampaian hadiah.
Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Menggunakan konsep Hukum Ketiga Newton dan dibantu dengan persembahan menarik menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak, Kuching, Sarawak dinobatkan juara keseluruhan pertandingan Petrosains Science Show Competition 2016.

Menerusi kemenangan itu, sekolah itu membawa pulang hadiah utama iaitu lawatan ke Muzium Sains Scitech, Perth, Australia untuk empat orang bernilai RM20,000.

Guru pengiringnya Tchong Fui Mui, 39, berkata, penyertaan kali kedua sekolah itu yang membawa konsep berbeza daripada peserta lain, menjadi penyumbang kepada kejayaan hasil titik peluh dua pelajarnya iaitu Santa Senthia Saka, 19, dan Joekryno Joni, 19.

“Persembahan kali ini mempunyai sedikit kelainan dan berbeza daripada kumpulan lain. Persembahan permulaan dengan penampilan ‘Rocket Man’ yang menggunakan papan luncur dan alat pemadam api mencuri perhatian penonton dan juri.

“Selain itu, kami mengambil pendekatan berbeza dengan menampilkan peserta ketiga iaitu patung boneka sebagai Dr Akomon yang turut menjadi penyumbang kepada kejayaan ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Petrosains Science Show Competition 2016 di sini, semalam.

Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof; Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas Zahariah Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad Khairul Kamaruddin.

Tchong berkata, hampir setiap hari selama dua bulan mereka berlatih bagi memastikan persembahan yang dilakukan mampu menarik minat penonton dan memudahkan mereka untuk memahami apa yang akan disampaikan.

Dalam pada itu, Joekryno yang turut menerima Anugerah Penyampai Terbaik berkata, patung boneka adalah faktor utama yang menjadi penyumbang untuknya menerima anugerah terbabit.

“Selama dua bulan saya bersama Dr Akomon bagi memudahkan saya menghayati dan memahami wataknya.

“Hari ini (semalam) adalah persembahan terbaik saya lakukan sekali gus berjaya mengekalkan kejuaraan pada kali kedua penyertaan,” katanya.

Sementara itu, Kamalanathan ketika berucap berkata, program seperti ini mampu menarik minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi pada peringkat awal selaras dengan usaha melahirkan generasi cerdik.

“Kita perlu melahirkan sekurang-kurangnya 70 saintis, ahli matematik dan pakar teknologi bagi setiap 10,000 tenaga kerja menjelang 2020 bagi mencapai tahap negara maju berpendapatan tinggi.

“Kementerian berharap semua pihak dapat bekerjasama termasuk badan korporat dan swasta untuk menyokong usaha kerajaan dalam pembangunan pendidikan generasi muda,” katanya.

Info

Pemenang Pingat Emas (RM 7,000, plak, sijil dan barangan Petrosains)

1) SMK Tun Abdul Razak, Kuching, Sarawak.

2) SMK Langgar, Kedah.

3) SMK Tamparuli, Sabah

Pemenang Pingat Perak (RM 5,000, plak, sijil dan barangan Petrosains)

1) Sekolah Menengah Sains Rembau, Negeri Sembilan.

2) SMK Taman Tasik Taiping, Perak.

3) SMK Convent Bukit Nenas, Kuala Lumpur.

Pemenang Pingat Gangsa (RM 3,000, plak, sijil dan barangan Petrosains)

1) MRSM Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang.

2) SMK Sultan Ismail, Johor.

Pemenang Anugerah Khas (Plak, sijil dan barangan Petrosains)

1) Anugerah Pasukan Paling Popular–Sekolah Menengah Sains Rembau, Negeri Sembilan.

2) Anugerah Bintang Harapan–Sekolah Menengah Sains Rembau, Negeri Sembilan.

3) Anugerah Bilangan Penyertaan Paling Tertinggi–Negeri Kelantan

4) Anugerah Demonstrasi Paling WOW–SMK Langgar, Kedah

5) Anugerah Penyampai Terbaik–Joekryno Joni, 19, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak, Kuching, Sarawak

6) Anugerah Skrip Terbaik–SMK Durian Tunggal, Melaka.

7) Anugerah Penyertaan Tertinggi (RM10,000 merangkumi pembelian kelengkapan pembelajaran dan pendidikan)

SMK Jenawat, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 8:42 AM