MINYAK masak paket satu kg. FOTO Bernama
MINYAK masak paket satu kg. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Penjual runcit dibenarkan untuk mengenakan had pembelian minyak masak pek polibeg satu kilogram (kg) sebanyak tiga unit bagi setiap transaksi untuk setiap pelanggan, berkuat kuasa 19 Januari.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, kebenaran itu bertujuan memastikan lebih ramai pengguna berpeluang membeli bekalan minyak masak, yang diberikan subsidi kerajaan.

Minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kg adalah barang kawalan yang diberikan subsidi di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS).

"Kebenaran ini adalah terpakai kepada minyak masak pek polibeg satu kg saja dan perlu dijual dengan harga RM2.50 sekilogram," kata Azman dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azman berkata tiada had pembelian dikenakan ke atas minyak masak bukan dalam pek polibeg satu kg.

Azman berkata, kerajaan komited dalam memastikan kestabilan bekalan minyak masak polibeg satu kg bersubsidi, untuk memastikan rakyat boleh mendapatkan bekalan minyak masak untuk kegunaan isi rumah dengan harga yang ditetapkan iaitu RM2.50 sekilogram, khususnya dalam cabaran situasi pandemik Covid-19.

Beliau berkata, KPDNHEP konsisten mengawal selia aktiviti perdagangan dan pengedaran di negara ini, bagi memastikan rangkaian pengedaran pemborongan dan peruncitan tidak terjejas, sekali gus dapat memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa bekalan barangan keperluan asas dan penjagaan diri, adalah mencukupi di pasaran.

"Arahan ini juga memastikan tiada perlakuan peniaga yang mengambil kesempatan, memanipulasi harga dan bekalan minyak masak semasa pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 5:12 PM