DUA daripada lima anak Mohd Amir.
DUA daripada lima anak Mohd Amir.
Oleh Arifin Salleh

Melaka: Lima adik-beradik sanggup mengikat perut hingga adakalanya hanya menjamah nasi berlauk kicap bersama telur goreng semata-mata mahu berjimat dan menggunakan wang yang ada untuk membiayai kos rawatan bapa mereka yang menghidap penyakit kencing manis dan terlantar di rumah sejak lima bulan lalu.

Lebih memeritkan pada Jumaat lalu, bapa mereka menjalani pembedahan untuk memotong kaki kanannya yang terjejas teruk akibat jangkitan kuman dan kini masih dirawat di Hospital Melaka.

Ibu mereka, Nur Wahidah Adnan, 26, berkata, sebelum ini suaminya, Mohd Amir Idris, 27, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat di Ayer Keroh disahkan menghidap kencing manis selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Melaka, April lalu.

Menurutnya, dia terpaksa mengambil alih tugas menjaga lima anaknya, Mohd Azizi Sufian, 6, Nor Alya Natasha, 5, Mohd Aiman Darwish, 3, Nor Aina Nasuha, 2, dan Mohd Iman Aryan, 8 bulan, selain menguruskan keperluan suaminya.

Katanya, pada peringkat awal disahkan menghidap kencing manis, kaki kanan Mohd Amir menjadi lebam akibat jangkitan kuman yang serius dan sukar untuk bergerak menyebabkan suaminya tidak boleh bekerja dan terlantar di rumah.

“Saya khuatir selepas ini suami akan kehilangan kaki kirinya kerana hasil penilaian dilakukan doktor mendapati kuman mula merebak ke anggota itu.

“Sejak suami hilang upaya untuk bekerja, saya terpaksa meminta bantuan ahli keluarga dan jiran untuk menampung perbelanjaan harian anak-anak dan kos berulang-alik dari rumah ke hospital,” katanya.

Tujuh beranak itu yang menyewa di Kampung Tiang Dua, Ayer Molek bergantung kepada bantuan bulanan diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 dan Majlis Agama Islam Melaka, RM350 untuk membiayai perbelanjaan harian mereka.

Terdahulu, nasib mereka mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri Datuk Yunus Husin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Molek yang menziarahi Mohd Amir di Hospital Melaka, kelmarin.

Hadir sama, Presiden Gomenn Biker Datuk Yusuf Jantan dan 20 ahli Kelab Rakan Permotoran Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 5:44 AM