Seorang penyelia kilang percetakan disahkan maut selepas mendaki Gunung Lambak di Kluang Johor. FOTO IHSAN BOMBA
Seorang penyelia kilang percetakan disahkan maut selepas mendaki Gunung Lambak di Kluang Johor. FOTO IHSAN BOMBA
Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Seorang penyelia kilang percetakan meninggal dunia selepas rebah ketika mendaki Gunung Lambak di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, Tew Wei Peng, 50-an yang mendaki bersama isterinya, Ko Meh Cheng, 50-an dikatakan mengadu sakit dada sebelum rebah ketika berada di ketinggian kira-kira 800 meter.

Katanya, polis menerima panggilan telefon daripada isteri mangsa pada 9.07 pagi memaklumkan suaminya pengsan di lokasi kejadian.

"Bantuan awal Resusitasi kardiopulmonari (CPR) diberikan oleh petugas kesihatan yang tiba di lokasi kejadian.

"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika berada di dalam ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK)," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, bedah siasat dijangka dilakukan esok dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Katanya, bapa kepada dua anak itu tidak mempunyai mempunyai penyakit atau rekod kesihatan penyakit kronik.

Dalam pada itu, 10 anggota bersama dua jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang dikejarkan ke lokasi kejadian .

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Jusoh Mohd Salleh berkata, pasukan keluaran operasi (PKO) mendaki gunung dan memberi rawatan awal termasuk bantuan pernafasan terhadap mangsa.

"Seterusnya mangsa dibawa turun ke kaki gunung menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya," katanya operasi ditamatkan pada 11.12 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 5:12 PM