Norhisyam
Norhisyam
Adnan Ibrahim


Kluang: Kehilangan anggota polis, Lans Koperal Norhisyam Abdullah, 30, ketika mendaki Gunung Lambak pada Rabu lalu menjadi kes paling lama untuk diselesaikan selain penyertaan anggota teramai dalam operasi mencari dan menyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang Akob Sedek berkata, kehilangan anggota polis itu terus diselubungi misteri dan usaha mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan.

Beliau berkata, sejak bertugas di balai berkenaan selama empat tahun, lebih 10 kes penyelamatan dilaporkan kepada pihaknya.

Menurutnya, antara usaha mencari dan menyelamat paling lama adalah enam hingga 12 jam.

“Sudah memasuki hari kedua pencarian dilakukan. Jika dia mengalami sesak nafas mahupun kecederaan pasti dijumpai kerana laluan mendaki tidak terlalu curam dan boleh ditemui dalam masa singkat.

“Walaupun menggunakan khidmat anjing pengesan selain Pasukan Gerakkan Am (PGA) yang mahir dengan keadaan hutan, kami gagal menemui anggota polis terbabit,” katanya di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat di kaki Gunung Lambak di sini, semalam.

Akob berkata, beberapa cadangan pernah dikemukakan kepada pihak Majlis Perbandaran Kluang (MPK) sebagai badan pengurusan di kawasan rekreasi Gunung Lambak untuk melancarkan tindakan penyelamatan sekiranya perkara tidak diingini berlaku.

Menurutnya, antara cadangan pihaknya ialah menyediakan buku rekod pendakian kepada semua pendaki yang menggunakan laluan satu dan dua kerana menerusi catatan itu, tindakan segera boleh dilakukan sekiranya ada pendaki belum turun mengikut masa ditetapkan.

“Malah MPK juga harus menetapkan masa pendakian dan turun dari gunung ini kerana laluan mula gelap sekiranya mereka tidak sampai ke kaki gunung sekitar jam 6.30 petang,” katanya.

Akob berkata, pendaki juga harus memastikan mereka mempunyai tahap kesihatan baik selain perlu bersama sekurang-kurangnya seorang kawan sebelum pendakian dilakukan.

“Mereka juga perlu menggunakan pakaian bersesuaian dan membawa bekalan seperti air minuman secukupnya sebelum mendaki kerana walaupun ketinggian hanya sekitar 1,500 meter namun kebanyakan laluan mencabar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 8:44 AM