Ruang legar utama BMLR  sepi berikutan taman tema air ditutup selama dua hari.
Ruang legar utama BMLR sepi berikutan taman tema air ditutup selama dua hari.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi dan Balqis Jazimah Zahari


Bukit Merah: Operasi taman tema air Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di sini, ditutup sepenuhnya semalam dan hari ini bagi membolehkan petugas Jabatan Kesihatan Perak melakukan pemeriksaan kes jangkitan Rotavirus terhadap kanak-kanak yang dikatakan berpunca dari taman tema berkenaan.

Pengurus Besar BMLR Kamal Hussein berkata, penutupan itu susulan arahan Jabatan Kesihatan dan pihaknya akur arahan itu walaupun keputusan rasmi belum diperoleh.

“Seperti diarahkan Jabatan Kesihatan, kami menutup operasi bagi memberi kerjasama kepada pelbagai pihak menjalankan siasatan mengenai punca penyakit virus yang dikatakan berpunca dari sini.

“Dalam pada itu, saya dan pasukan BMLR akan melawat semua mangsa dan pada masa sama kami akan membincangkan tindakan lanjut kami terhadap semua mangsa jika disahkan punca kejadian dan virus itu berpunca dari taman tema ini,” katanya di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perak Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, keputusan ujian sampel air diambil di kawasan taman tema air BMLR dijangka diperoleh dalam tempoh dua hari.

Katanya, sampel air berkenaan dihantar kepada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Sungai Buloh, Selangor, hari ini untuk ujian lanjut.

“Persampelan air juga dijalankan oleh Unit Kawalan Mutu Air Minuman (KMAM) Pejabat Kesihatan Daerah Kerian (PKD) Kerian semalam (kelmarin).

“Sejumlah 14 sampel diambil bagi memeriksa sama ada wujud klorin dan kuman manakala lima lagi sampel diambil MKAK,” katanya.

Beliau berkata, arahan penutupan lokasi aktiviti air di BMLR dibuat mengikut Seksyen 18(1)(f), Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 6:28 AM