KETUA Pemuda UMNO Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan dua basikal dan barang keperluan harian, semalam.
KETUA Pemuda UMNO Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan dua basikal dan barang keperluan harian, semalam.

Nibong Tebal: Walaupun terpaksa menapak lima kilometer setiap kali pulang ke rumah dari sekolah, ia langsung tidak mematahkan semangat tiga beradik untuk terus menimba ilmu.

Mohd Rizwan Ahmad, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah bersama dua adiknya, Siti Aishah, 12, dan Mohd Yusri, 9, terpaksa berjalan kaki untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Teluk, di sini, setiap kali pulang dari sekolah.

Menurut Mohd Rizwan, bapanya, Ahmad Awang, 57, hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang manakala ibunya, Rohani Johari, 42, tidak bekerja.

“Pendapatan ayah sekitar RM700 sebulan dan tidak mampu membelikan kami basikal atau membayar upah van sekolah.

“Setiap pagi, ayah akan menghantar kami tiga beradik ke sekolah sebelum pergi kerja dan waktu balik dari sekolah, ayah tidak boleh menjemput kami,” katanya, semalam.

Mohd Ridzwan berkata, selepas tamat waktu sekolah, Aishah dan Yusri yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Saujana Indah akan menunggunya untuk pulang bersama-sama.

Menurutnya, mereka mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam untuk sampai ke rumah.

“Jika bernasib baik, ada juga guru atau jiran yang tumpangkan kami tiga beradik pulang ke rumah.

“Namun jika motosikal ayah rosak, kami terpaksa berjalan kaki ke sekolah.

“Saya dan adik-adik tidak mahu berhenti sekolah dan mahu berjaya untuk mengubah nasib keluarga,” katanya.

Pergerakan Pemuda UMNO Nibong Tebal bersama Nibong Tebal Unity Squad tampil memberikan sumbangan bagi meringankan beban tiga beradik berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 6:59 AM