ANGGOTA bomba mengusung mayat Mohd Nor Fadzilah.
ANGGOTA bomba mengusung mayat Mohd Nor Fadzilah.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Temerloh: Ajal menjaring ikan. Itu nasib malang menimpa seorang lelaki berusia 45 tahun apabila ditemui lemas selepas dilaporkan hilang di Sungai Pahang di Kampung Gempu, Batu Sawar, Kuala Krau, di sini, kelmarin.

Mayat mangsa, Mohd Nor Fadzilah Rashid ditemui jam 11.30 pagi semalam di Kampung Kuala Kerdau, dekat sini, kira-kira 30 kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan dihanyutkan arus deras.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa bersama seorang lagi lelaki dipercayai anak saudaranya, Mohd Sidik Shakir Ahmed, 23, dari Kampung Gempu yang masih belum ditemui keluar kira-kira jam 4.30 petang kelmarin untuk menjaring ikan sebelum mereka dilaporkan hilang.

Saksi kejadian yang juga rakan mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran selepas tindakannya membantu dua mangsa terbabit tidak berjaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh Superintendan Zundin Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan dibuat rakan mangsa sebelum operasi mencari dilakukan orang kampung dengan bantuan polis namun, misi dihentikan kerana cuaca buruk petang kelmarin.

“Operasi mencari diteruskan pada hari ini (semalam) pada jam 9 pagi sebelum mayat pertama ditemui pada jam 11.30 pagi di Kampung Kuala Kerdau.

“Bagaimanapun, mangsa kedua, Mohd Sidik masih belum ditemui dan operasi mencari akan diteruskan pada jam 9 pagi esok (hari ini),” katanya ketika ditemui di lokasi operasi dijalankan, semalam.

Katanya, operasi mencari membabitkan 200 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk dengan menggunakan 14 bot.

Zundin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa cuba menyelamatkan diri namun tidak berjaya kerana pasir jerlus sebelum dihanyutkan air deras.

“Berkemungkinan keduaduanya cuba menyelamatkan diri sebelum terkapai-kapai akibat pasir jerlus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:14 AM