ANGGOTA JPJ memeriksa kereta klon yang dirampas.
ANGGOTA JPJ memeriksa kereta klon yang dirampas.
myMetro

Kuala Lumpur: Seorang suri rumah tidak dapat menahan hiba sebaik mengetahui kereta baru dihadiahkan suami sempena ulang tahun perkahwinan adalah kenderaan klon.

Lebih menyedihkan apabila kereta model Honda Civic ES itu terpaksa dirampas pihak berkuasa serta-merta sejurus pemeriksaan mengesahkan identiti haram kereta berkenaan.

Jurucakap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata, wanita itu ditahan anggota penguat kuasa ketika dalam perjalanan membawa pulang anaknya dari sekolah berdekatan daerah Seberang Perai, Pulau Pinang.

Menurutnya, anggota JPJ yang melakukan operasi Ops Khas mengesyaki kereta dipandu wanita itu sebagai kenderaan klon diseludup dari negara jiran.

“Pemeriksaan mendapati kereta itu masih mengekalkan ciri - ciri spesifikasi asal seperti kenderaan di Singapura menyebabkan ia ditahan.

“Susulan itu, kereta berkenaan disita untuk pemeriksaan lanjut selepas didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu, selain tidak dibenarkan digunakan di atas jalan raya di negara ini,” katanya.

Menurutnya, wanita berusia 40-an itu yang disoal siasat mendakwa kereta itu dibeli suaminya untuk dihadiahkan sempena ulang tahun perkahwinan mereka.

“Wanita itu mendakwa tidak tahu kereta itu kenderaan lupus di Singapura, ” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, wanita itu memberitahu menggunakan kereta itu sejak lima bulan lalu untuk urusan harian.

Pihak JPJ sebelum ini merampas kereta Suzuki Swift milik seorang lelaki yang mendakwa memperolehnya daripada sebuah syarikat jualan langsung (MLM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 9:49 AM