MUHAMAD Nasri menjamah lokcing yang dihulurkan Zaleha di Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis.
MUHAMAD Nasri menjamah lokcing yang dihulurkan Zaleha di Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis.

Kangar: Keterujaan menikmati sejenis makanan bebola bakar dikenali ‘lokcing’ dan menghayati keindahan Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis, menjadi kenangan terindah buat seorang pesakit Talasemia kronik yang dapat makan bersama rakan yang sudi menemaninya selepas dia dibawa menaiki ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Sebelum ini, Muhamad Nasri Ahmad Shukri, 22, menyimpan hasrat untuk menikmati makanan itu, namun terpaksa dipendam akibat keadaan dirinya itu yang menghidapi penyakit Talasemia kronik.

Bagaimanapun, hasratnya tertunai atas inisiatif beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan kebajikan seperti Persatuan Anak Syurga, Perlis Hope, Persatuan Anak Muda Perlis dan Sinar Harapan dengan kerjasama JPAM Perlis yang berjaya membawanya ke tempat berkenaan menaiki ambulans dari kediamannya di Kampung Semadong, Beseri, dekat sini, kelmarin.

Muhamad Nasri tiba di kawasan itu sekitar jam 5 petang dengan berkerusi roda sebelum dibawa ke tepi pantai untuk diraikan dalam satu majlis santai.

Ibunya, Zaleha Hashim, 50, berkata, anaknya tidak menyangka hasratnya ditunaikan pihak yang prihatin dengan penderitaan dialaminya dan bersemangat menjamah lokcing bersama kenalan.

Muhamad Nasri anak kedua daripada tiga adik beradik menghidap penyakit berkenaan sejak usianya enam tahun, namun keadaannya ketika itu tidak seteruk sekarang.

Penyakitnya semakin teruk apabila beberapa kali jatuh sakit ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Sulaiman, Beseri, sehingga tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pada 2011.

Dia sukar berjalan akibat nahas ketika membonceng motosikal yang ditunggang kakaknya.

Akibat kejadian itu, dia terpaksa bergantung kepada kerusi roda yang dibekalkan Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Selain itu, dia menghidap kencing manis, masalah pada hati dan anemia sehingga tubuhnya kini menjadi kurus.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga berkenaan bolehlah menyumbang ke akaun Zaleha Hashim di Bank Muamalat iaitu 09010017876726.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 6:34 AM