FIRMAN yang berkerusi roda dibantu untuk menaiki kenderaan.
FIRMAN yang berkerusi roda dibantu untuk menaiki kenderaan.
Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Penyanyi Indonesia, Firman Siagian, 38, yang kini dalam sesi promosi single terbarunya, Fatwa Pujangga, di sini, terpaksa dihantar pulang ke Bandung pagi semalam berikutan mengalami kesakitan teruk di bahagian belakang badan dipercayai slip disc.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kehilangan itu tiba di ibu negara pada Isnin lalu bagi melakukan jelajah promosi single berkenaan yang juga duetnya bersama penyanyi Indonesia, Siti Liza.

Bagaimanapun, Firman mula berasa sakit sejak Rabu lalu selepas membuat persembahan dalam majlis makan malam di Klang.

Pengurus Firman di Malaysia, Nick Mohamed Noor Rahmat berkata, Firman mengalami masalah berkenaan sejak tahun lalu lagi.

“Difahamkan dia mengalami slip disc sejak tahun lalu. Selepas majlis itu, kesakitannya makin teruk. Dia juga mengadu sukar untuk duduk dan hanya boleh berbaring saja. Kami tiada pilihan dan terpaksa menghantarnya pulang pagi tadi (semalam),” katanya kepada Harian Metro.

Berikutan kejadian itu, Firman terpaksa membatalkan beberapa sesi fotografi dengan pihak media di sini termasuk Harian Metro, kelmarin.

Nick berkata, Firman sepatutnya mengadakan sesi promosi di sebuah pusat beli-belah, di sini, esok sebelum ke Singapura Ahad ini. Dia sepatutnya pulang ke Indonesia Selasa depan.

“Kami cuba juga memanggil tukang urut untuk merawatnya, namun keadaannya masih belum pulih. Jadi, kami terpaksa menghantarnya pulang untuk menjalani rawatan dengan doktor yang biasa merawatnya sebelum ini.

“Kami sekali lagi ingin memohon maaf bagi pihak Firman atas apa yang berlaku. Insya-Allah jika ada rezeki kami akan membawanya kembali semula ke sini untuk meneruskan promosi single Fatwa Pujangga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:28 AM