Firman terpaksa menggunakan kerusi roda ketika di KLIA. FOTO ihsan Nick Mohamed Noor Rahmat
Firman terpaksa menggunakan kerusi roda ketika di KLIA. FOTO ihsan Nick Mohamed Noor Rahmat
Syanty Octavia Amry

Kuala Lumpur : Penyanyi Indonesia, Firman Siagian, 38, yang kini dalam sesi promosi single terbarunya Fatwa Pujangga di sini, terpaksa pulang ke Bandung pagi tadi berikutan mengalami kesakitan teruk di bahagian belakang badan akibat masalah cakera teranjak (slipped disc)

Penyanyi yang popular dengan lagu Kehilangan itu tiba di ibu negara Isnin lalu bagi melakukan jelajah promosi single berkenaan yang juga duetnya dengan penyanyi Indonesia Siti Liza.

Bagaimanapun, Firman mula berasa sakit sejak malam kelmarin selepas membuat persembahan dalam majlis makan malam di Klang.

Pengurus Firman di Malaysia, Nick Mohamed Noor Rahmat berkata, Firman mengalami masalah berkenaan sejak tahun lalu lagi.

"Difahamkan dia mengalami 'slipped disc' sejak tahun lalu. Selepas majlis itu, kesakitannya makin teruk. Dia sukar untuk duduk dan hanya boleh berbaring saja. Kami tiada pilihan dan terpaksa menghantarnya pulang pagi tadi,” katanya kepada Harian Metro.

Berikutan kejadian itu, Firman terpaksa membatalkan beberapa sesi fotografi dengan pihak media di sini termasuk Harian Metro.

Nick berkata, Firman sepatutnya akan mengadakan sesi promosi di sebuah pusat beli-belah di sini esok sebelum ke Singapura Ahad ini. Dia sepatutnya pulang ke Indonesia Selasa depan.

"Kami cuba juga panggil tukang urut namun keadaannya masih belum pulih. Jadi, kami terpaksa menghantarnya pulang untuk menjalani rawatan dengan doktor yang biasa merawatnya sebelum ini.

"Kami memohon maaf bagi pihak Firman atas apa yang berlaku. Insya-Allah jika ada rezeki kami akan membawanya kembali semula ke sini untuk meneruskan promosi single Fatwa Pujangga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 4:34 PM