LUMAT dan suaminya ketika menunggu penerbangan ke Kuala Lumpur  sebelum ke Makkah.
LUMAT dan suaminya ketika menunggu penerbangan ke Kuala Lumpur sebelum ke Makkah.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Kuching: Biarpun menghidapi Parkinson, warga emas, Lumat Timbang, 65, tidak patah semangat dan tetap berniaga di Pasar Tamu Bekenu, Miri demi mengumpul wang bagi menunaikan haji.

Lumat bersama suaminya Kasa Nabai, 70, dari Kampung Dagang, Bekenu berniaga di Pasar Tamu itu setiap hari sejak 10 tahun lalu sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Lumat yang menghidapi Parkinson pada kedua-dua tangan dan kaki berkata, dia menunggu 10 tahun sebelum namanya terpilih menunaikan haji tahun ini.

“Saya lebih dahulu mendaftar dan suami hanya mendaftar di Tabung Haji beberapa tahun lalu. Apabila nama saya terpilih, kami membuat rayuan supaya dia dapat pergi bersama sebagai pengiring,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, kelmarin.

Menceritakan mengenai rutin hariannya, Lumat berkata, dia menanam padi dan sayur untuk dijual.

Katanya, selain itu, dia menjual apa saja hasil hutan atau produk asalkan mendapat wang.

“Hasilnya itu kami guna untuk perbelanjaan sekolah dan keperluan enam anak, selebihnya disimpan untuk saya ke Makkah,” katanya.

Lumat berkata, keadaan kesihatannya cabaran utama sepanjang menunaikan ibadat haji nanti kerana dia tidak mampu berdiri dan berjalan dalam tempoh lama.

“Saya harap di sana (Makkah) nanti, saya diberikan kekuatan fizikal untuk melaksanakan ibadat. Saya menghidapi Parkinson, manakala suami mempunyai masalah pendengaran.

“Besar cabaran kami di sana nanti, saya cuma mampu berdoa semuanya berjalan lancar,” katanya.

Seramai 450 bakal jemaah haji dari Sarawak diterbangkan ke Makkah melalui Kuala Lumpur menerusi tiga penerbangan iaitu pada 15, 16 malam dan 31 Ogos nanti.

Setiap penerbangan membawa 150 bakal jemaah haji Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 9:03 AM