Sultan Sharafuddin berkenan melakukan pemeriksaan perbarisan di Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Selangor di pekarangan Tugu Peringatan Negeri Selangor, Shah Alam.
Sultan Sharafuddin berkenan melakukan pemeriksaan perbarisan di Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Selangor di pekarangan Tugu Peringatan Negeri Selangor, Shah Alam.

Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan meletakkan kalungan bunga di Tugu Pahlawan, sempena Sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri, di sini, semalam.

Istiadat bagi memperingati jasa dan pengorbanan anggota tentera dan polis itu turut dilakukan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Panglima 11 Briged, Brigedier Jeneral Abdul Kadir Ahmad serta Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat.

Sebelum itu, istiadat yang turut dihadiri veteran tentera dan polis itu dimulakan dengan tiupan ‘Last Post’ sebelum bacaan sajak Pahlawanku.

Sementara itu, Abdul Kadir ketika ditemui berkata, pihaknya merancang untuk membawa penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB) anak Selangor untuk diperkenalkan kepada baginda pada sambutan tahun hadapan.

“Sambutan di peringkat kebangsaan dan Selangor adalah sedikit berbeza kerana di Putrajaya akan diadakan pentomin manakala di peringkat negeri diadakan istiadat kalungan bunga.

“Istiadat meletakkan kalungan bunga adalah tradisi ketenteraan dan ia dilakukan sempena memperingati Hari Pahlawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 5:05 AM