NOOR Ehsanuddin (empat dari kiri) dan Mohd Johari (tiga dari kanan) bersama anak yang menerima sumbangan.
NOOR Ehsanuddin (empat dari kiri) dan Mohd Johari (tiga dari kanan) bersama anak yang menerima sumbangan.
myMetro

Kuala Lumpur: Seramai 15,805 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 membuat permohonan bagi mengikuti latihan dalam bidang kemahiran vokasional.

Modul baru dikenali PLKN 2.0 itu mempunyai dua fasa iaitu bina diri dan peluang menjalani latihan kemahiran.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berkata, permohonan itu diterima untuk fasa kedua yang diyakini mampu melahirkan pelatih berkemahiran tinggi dan mempunyai nilai kebolehpasaran dalam kerjaya.

“Fasa kedua PLKN 2.0 mampu membuka laluan kerjaya kepada pelatih dalam pelbagai bidang terutama Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional.

“Pelatih ditawarkan melanjutkan pelajaran ke fasa dua membabitkan bidang kemahiran teknikal di Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) atau Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) selama tiga hingga 36 minggu bergantung kepada kemahiran dipilih,” katanya dalam sidang media di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Khidmat Latihan Negara (JLKN) di Mindef 2, Bangunan Zetro, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

Menurutnya, permohonan diterima dibuat pelatih sewaktu pelaksanaan Program Hari Kerjaya pada fasa pertama PLKN 2.0.

“Pilihan ini dibuat berdasarkan minat selepas mereka diberi pendedahan mengenai bidang latihan kemahiran melalui Modul myFuture setiap minggu dari minggu pertama hingga lima.

“JLKN bekerjasama dengan 424 ILKA di bawah lapan kementerian iaitu Kementerian Pengajian Tinggi membabitkan agensi Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (Giat MARA) serta Kementerian Belia dan Sukan (Institut Kemahiran Belia Negara) untuk kemasukan pelatih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 9:24 AM